DUA warga China masing-masing dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Sepang hari ini selepas mengaku bersalah memiliki rokok seludup di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jun lalu.
Majistret Suriani Ujang menjatuhkan hukuman terhadap Zhang Yaojun, 48, dan Zou Xinyi, 40, serta memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 26 Jun lalu.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar duti import masing-masing sebanyak RM9,200 atau menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal berbuat demikian.
Zhang didakwa memiliki 149 karton bersamaan 29,800 batang rokok bernilai RM4,470, dengan taksiran duti import RM20,770.60.
Sementara itu, Zou didakwa memiliki 311 karton bersamaan 62,200 batang rokok bernilai RM9,330, dengan taksiran duti import RM43,353.40.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Kastam Cawangan Pemeriksaan Penumpang, KLIA Terminal 1, pada jam 6 petang, 26 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama.
Jika sabit kesalahan, peruntukan itu menetapkan hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, dan maksimum 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA, Shahrul Amin Shahrul Nizam, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Soon Sen Yang.
Peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan mengambil kira tanggungan keluarga dan keadaan kewangan anak guamnya, lapor Bernama.
Menurutnya, Zou ialah ibu tunggal yang menanggung seorang anak lelaki berusia 10 tahun, manakala Zhang mempunyai dua anak yang masih bersekolah dan isterinya terbabit dalam kemalangan beberapa bulan lalu.





