Sembilan individu didakwa jadi ahli Geng Yunaa

ENAM lelaki dan tiga wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Yunaa sejak tahun lalu.

Kesemua tertuduh mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan kesalahan berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang itu di sebuah kediaman servis di Petaling Jaya dalam tempoh antara Januari 2025 hingga 25 September lalu.

SEBAHAGIAN daripada sembilan individu didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Yunaa, sejak tahun lalu

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan, lapor Sinar Harian.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail yang hadir bersama Nur Ainaa Ridzwan memaklumkan bahawa pertuduhan berkenaan merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Pihak pendakwaan turut memohon mahkamah menetapkan tarikh lain bagi sebutan semula kes.

Hakim kemudian tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula.

Media semalam melaporkan, polis berjaya melumpuhkan Geng Yunaa yang disyaki terbabit dalam 17 kes pelacuran dan pemerdagangan kanak-kanak bagi tujuan eksploitasi seksual menerusi Ops Angel di Lembah Klang pada 24 hingga 26 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, tujuh individu berusia antara 18 hingga 44 tahun ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga hari ini.

Beliau berkata, dua lagi individu yang dipercayai anggota kumpulan itu ditahan di Penjara Kajang dan Sekolah Henry Gurney, Melaka atas kesalahan sama.

Menurutnya, tangkapan berkenaan membolehkan polis menyelesaikan 17 kes serta melumpuhkan kumpulan jenayah terancang terbabit di Selangor.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here