Wanita ulangi kesalahan tawar khidmat seks, dipenjara enam bulan

SEORANG wanita dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Tawau hari ini selepas mengulangi kesalahan menawarkan perkhidmatan seks, meskipun pernah dikenakan perintah khidmat masyarakat bagi kesalahan sama.

Nurul Syahfathin Puteri Sofea berusia 19 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menawarkan perkhidmatan seks melalui aplikasi WhatsApp di sebuah bilik sewa di tingkat dua, Flat Sabindo, Jalan Habib Sheikh, Bandar Sabindo, kira-kira jam 9.30 malam pada 20 Oktober lalu.

Berdasarkan fakta kes, seorang anggota polis yang bertindak sebagai ejen penyamaran menghubungi tertuduh menerusi aplikasi berkenaan sebelum wanita itu menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran RM150.

Polis kemudian menyerbu bilik sewa tersebut dan menemui dua keping kondom, wang tunai RM150 serta sebatang anak kunci.

Ketika prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah bahawa dia baru sekali melakukan kegiatan berkenaan, lapor BH.

Dia turut menjelaskan perbuatannya itu didorong kesempitan hidup selepas diberhentikan kerja, selain perlu menjelaskan tunggakan sewa bilik dan mendakwa gajinya masih belum dibayar.

Tertuduh sebelum ini bekerja sebagai pembantu di sebuah gerai menjual kepak ayam.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh pernah didakwa atas kesalahan sama pada 4 September tahun lalu.

Bagi kesalahan terdahulu, tertuduh dikenakan perintah khidmat masyarakat selama enam bulan, empat jam sehari, selain jaminan tanpa deposit RM1,000.

Don Stiwin menegur tertuduh kerana mengulangi kesalahan berkenaan walaupun pernah diberi peluang untuk memperbaiki diri.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap tertuduh berkuat kuasa dari tarikh tangkap.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here