DEWAN Undangan Negeri Sarawak bubar berkuat kuasa 26 Oktober ini bagi memberi laluan kepada proses Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan perkara itu pada sidang media khas di Kompleks Satria Pertiwi di Petra Jaya Kuching sebentar tadi, lapor Buletin TV3.
Abang Johari dalam sidang media itu memaklumkan, SPR dijangka bersidang dalam masa terdekat bagi membolehkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRN Sarawak diputuskan.
“Pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran DUN.
“SPR akan dimaklumkan secara rasmi dan seterusnya menentukan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri seluruh anggota Kabinet Sarawak.
Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada perkhidmatan awam negeri atas komitmen dan dedikasi mereka dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat Sarawak.
Pada masa sama, beliau mengingatkan semua calon serta penyokong supaya menghormati undang-undang sepanjang tempoh pilihan raya dan memastikan proses demokrasi berlangsung secara aman.
“Kita mahu rakyat membuat keputusan secara bebas. Saya percaya kita akan terus bekerjasama demi masa depan anak-anak Sarawak,” katanya.
Terdahulu, pada jam 3 petang, Abang Johari telah menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri untuk memaklumkan pembubaran tersebut.
Ini merupakan kali kedua Abang Johari memimpin partinya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyertai PRN.
Dalam PRN Sarawak ke-12, GPS menang besar, 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
Pun begitu menjelang akhir penggal, kerusi tersebut bertambah kepada 79 apabila salah satu parti pembangkang, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dibubarkan dan tiga wakil rakyatnya yang juga pemimpin utama parti itu menyertai salah sebuah parti komponen GPS, Parti Progresif Demokratik (PDP).
Seorang lagi wakil rakyat parti tersebut, terlebih dahulu mengisytihar keluar parti dan menjadi wakil Bebas tetapi mesra GPS.





