DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan kerajaan mungkin akan mengharamkan sepenuhnya penggunaan aplikasi navigasi Waze di negara ini sekiranya aplikasi alternatif yang dibangunkan syarikat tempatan mampu menawarkan keupayaan lebih baik.
Perdana Menteri berkata, buat masa ini, larangan penggunaan Waze hanya terpakai kepada penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi, sementara kerajaan meneliti keupayaan aplikasi alternatif sebelum mempertimbangkan langkah lebih menyeluruh.
“Ada perancangan haramkan Waze?. Itu kita kena belajar apa dia alternatif dia, kalau dah esok kita tengok keupayaan kita (aplikasi tempatan) cukup baik, maka kita mungkin kita kemungkinan untuk mengharamkan sama sekali.
“Tapi buat sementara waktu, saya tidak mengerti kalau hal ini mengapa jadi kontroversi. Kontroversinya kerana lembabnya alternatif (aplikasi TuJu), saya setuju tetapi keputusan kita bukan kontroversi tapi ini soal keselamatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 500 jemaah di Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana di Ampang hari ini, lapor Buletin TV3.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau yakin pelbagai usaha sedang dilaksanakan pihak berkaitan bagi meningkatkan keupayaan aplikasi navigasi tempatan supaya dapat memenuhi keperluan pengguna.
Katanya, Menteri Digital, Gobind Singh Deo juga sudah memberikan penjelasan mengenai perkara itu di Parlimen semalam.
“Jadi sekarang, Menteri pun dah jelaskan di Parlimen, guna apa sahaja yang lain yang berpangkalan di Malaysia.
“Walaupun tidak canggih, tidak apalah, kita baiki. Lebih baik selamat daripada serahkan maklumat kerahsiaan negeri, peribadi saudara, dan negara, kepada Israel itu yang penting difahami,” katanya.
Anwar menegaskan, aspek keselamatan maklumat perlu diberikan keutamaan, meskipun aplikasi alternatif tempatan masih memerlukan penambahbaikan dari segi keupayaan dan prestasi.
Selepas selesai program di masjid berkenaan, beliau meluangkan masa kira-kira satu jam menikmati makan tengah hari bersama penduduk di Restoran Cikgu Sue di Ampang.





