Data diproses di Israel, pertikaian undang-undang jadi asas larangan Waze – Fahmi

PENGUMPULAN dan pemprosesan data pengguna aplikasi navigasi Waze di Israel, selain pertikaian perundangan yang hanya boleh diselesaikan melalui mahkamah di negara itu, menjadi antara faktor utama kerajaan melarang penggunaannya oleh penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu berdasarkan maklum balas Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) yang disampaikan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN).

Beliau berkata, kedua-dua isu itu menimbulkan kebimbangan memandangkan Malaysia tidak mengiktiraf Israel dan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.

“Perkara yang telah dimaklumkan turut melibatkan pengumpulan data, pemprosesan data yang berkait aplikasi tersebut yang dibawa ke Israel. Itu isu besar yang telah dibangkitkan.

“Dan kedua, sebarang pertikaian perundangan hanya akan diuruskan melalui mahkamah di Israel. Bermaksud sekiranya ada apa-apa yang berbangkit, kita tidak boleh pergi ke situ kerana Malaysia tidak mengiktiraf, tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel. Itu dua isu utama,” katanya.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian dalam dalam sidang media mingguan Pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi meminta pihak Waze memberikan penjelasan berhubung dakwaan ketirisan data pengguna yang dikaitkan dengan penjualan maklumat di laman web gelap atau dark web.

Katanya, penjelasan syarikat itu diperlukan bagi memperjelas bagaimana maklumat peribadi pengguna boleh diperoleh pihak tidak bertanggungjawab dan didakwa dijual untuk mendapatkan keuntungan.

“Kita tidak pasti bagaimana maklumat data peribadi rakyat Malaysia boleh diambil sedemikian rupa dan kemudiannya berlaku satu data leak (bocor), ketirisan data dan ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang memperoleh keuntungan daripada jualan di dalam dark web (web gelap). Tapi saya harap pihak Waze memberi penjelasan,” katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada data rakyat Malaysia terbabit dalam ketirisan berkenaan, Fahmi berkata beliau tidak dapat mengesahkannya.

Beliau berkata, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) di bawah Kementerian Digital juga akan dirujuk bagi meneliti aspek siasatan yang mungkin diperlukan, tertakluk kepada proses perundangan.

Mengulas kemungkinan kerajaan menyekat penggunaan Waze secara lebih menyeluruh, Fahmi berkata, pihaknya masih menunggu cabutan minit mesyuarat JKSN sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.

Pada 22 Oktober lalu, Waze dilaporkan menafikan dakwaan bahawa aplikasi itu mengumpul maklumat sensitif kerajaan atau membolehkan data peribadi pengguna dieksploitasi, susulan larangan terhadap penjawat awam serta gesaan kerajaan supaya rakyat Malaysia menyahaktifkan aplikasi berkenaan.

Dalam kenyataan kepada media antarabangsa, syarikat itu menyifatkan dakwaan bahawa pihaknya mengumpul maklumat sensitif kerajaan atau membenarkan mana-mana entiti mengeksploitasi data peribadi pengguna sebagai tidak benar.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here