JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 65,699 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 1,966 majikan menerusi 11,110 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan dari 1 Januari hingga 16 Oktober lalu.
JIM dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 148,153 individu diperiksa sepanjang tempoh berkenaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.
“Bagi tempoh 12 hingga 16 Oktober lalu sahaja, sebanyak 252 operasi dilaksanakan dengan 4,907 individu diperiksa, manakala 2,156 PATI dan 51 majikan ditahan.
“Dalam perkembangan berkaitan, seramai 45,597 warga asing dipindahkan pulang ke negara asal bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September lalu,” menurut JIM dalam kenyataan.
JIM turut merekodkan kutipan kompaun sebanyak RM41.26 juta daripada majikan dan RM37.12 juta daripada PATI bagi tempoh sama.
Sementara itu, Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) merekodkan sebanyak 312,146 pendaftaran dengan kutipan kompaun berjumlah RM155.99 juta.
JIM memaklumkan pihaknya akan terus memperkukuh penguatkuasaan, mengambil tindakan terhadap majikan yang melanggar undang-undang serta mengurus penghantaran pulang warga asing mengikut prosedur ditetapkan.




