Kerjasama rentas agensi perkukuh kepakaran forensik digital negara

KERJASAMA rentas agensi penguatkuasaan perlu diperkukuh bagi meningkatkan kepakaran forensik digital negara, khususnya dalam memastikan bukti digital dikendalikan secara profesional serta dapat dikemukakan dengan jelas dan tepat dalam prosiding mahkamah.

Pengarah Bahagian Forensik Teknologi (BFT) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Zulkifli Wan Jusoh berkata, pegawai forensik digital bukan sahaja perlu menguasai kemahiran teknikal, malah berupaya menjelaskan kaedah analisis, penemuan dan bukti digital supaya dapat difahami pihak pendakwaan serta mahkamah.

WAN Zulkifli Wan Jusoh

Katanya, aspek kualiti penyiasatan dan kompetensi pegawai ketika memberikan keterangan di mahkamah perlu diberikan perhatian memandangkan penemuan teknikal memerlukan penjelasan yang tepat, jelas dan mudah difahami.

“Selain itu, sesi perkongsian pengalaman berkaitan prosiding mahkamah, termasuk sesi soal jawab bersama Timbalan Pendakwa Raya (TPR), wajar diperkasakan bagi membantu pegawai forensik membuat persediaan lebih baik ketika memberikan keterangan sebagai saksi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Bengkel Tahunan Kumpulan Kerja Forensik Digital (KKFD) bagi Agensi Penguatkuasaan Tahun 2026 di Suria Hot Spring Resort di Bentong, Pahang hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi I KKFD, Nik Mazdie Izham Nik Mohamed, yang juga Ketua Makmal Forensik Digital Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Timbalan Pengerusi II KKFD, Asisten Komisioner Muhammad Zulkifly Mohd Isa yang juga Ketua D10 Fizikal Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Wan Zulkifli yang juga Pengerusi KKFD berkata, kerjasama berterusan antara agensi penting bagi memastikan kepakaran dan keupayaan makmal forensik digital dapat dimanfaatkan secara optimum dalam menghadapi cabaran penyiasatan yang semakin kompleks.

Menurutnya, usaha itu diharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama agensi penguatkuasaan, meningkatkan standard amalan forensik digital serta memastikan bukti digital dikendalikan secara profesional dan berintegriti bagi menyokong keberkesanan penyiasatan.

Beliau berkata, jumlah keahlian KKFD meningkat kepada lebih 150 orang sejak kumpulan kerja itu ditubuhkan pada 2015, sekali gus mencerminkan perkembangan kerjasama antara agensi penguatkuasaan dalam memperkukuh keupayaan forensik digital negara.

“Walaupun penglibatan dalam kumpulan kerja ini merupakan tugasan sampingan, sumbangan tenaga, pengetahuan dan kepakaran setiap ahli amat penting bagi membantu memperkasakan makmal forensik digital di agensi masing-masing,” katanya.

Bengkel selama tiga hari itu disertai 62 peserta daripada pelbagai agensi penguatkuasaan dan turut membincangkan hala tuju serta perancangan penambahbaikan KKFD bagi memastikan kumpulan kerja berkenaan terus relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.

Wan Zulkifli berkata, SPRM komited memberikan khidmat sokongan dan bantuan bagi memperkukuh bidang forensik digital, termasuk meningkatkan keupayaan makmal serta menggalakkan perkongsian kepakaran antara agensi.

Bagaimanapun, katanya, perolehan teknologi baharu perlu dirancang berdasarkan keperluan sebenar setiap agensi, selain mematuhi prosedur dan mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here