SEORANG tekong darat warga Myanmar ditahan bersama 10 rakan senegaranya yang disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di sebuah hotel di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, pagi tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, kumpulan itu dipercayai menjadikan hotel berkenaan sebagai lokasi transit selepas tiba di negeri berkenaan kira-kira jam 6.30 pagi.
Menurutnya, 10 warga Myanmar termasuk empat wanita itu dipercayai bekerja di Johor Bahru dan Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Kelantan.
“Siasatan awal mendapati setiap warga Myanmar berkenaan membayar RM3,500 seorang kepada tekong darat bagi membolehkan mereka dibawa keluar dari negara ini.
“Tekong darat berusia lingkungan 30-an itu mengaku sudah empat tahun tinggal di Shah Alam, Selangor,” katanya, lapor BH.
Beliau berkata, kesemua 11 warga Myanmar itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam serbuan jam 8.30 pagi itu, pihak imigresen turut menemukan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V yang dipercayai digunakan untuk membawa 10 PATI berkenaan, selain beberapa beg pakaian milik mereka.
Dalam operasi berasingan di sebuah tapak pembinaan di Kubang Kerian, seramai 57 warga asing diperiksa sebelum 55 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Oktober lalu, JIM melaksanakan 11,000 operasi penguatkuasaan di seluruh negara, dengan lebih 146,000 warga asing diperiksa dan lebih 65,000 ditahan atas pelbagai kesalahan. Lebih 45,000 warga asing pula sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.





