Program Halal Sukses KUSKOP di Sabah himpun 226 peserta

SERAMAI  226 peserta menyertai Program Halal Sukses Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sempena Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) Edisi Sabah, di Kota Kinabalu semalam.

Program itu menghimpunkan 142 usahawan, 44 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan 40 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, dalam usaha memperkasa pembangunan perniagaan berasaskan halal, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Timbalan Setiausaha Bahagian (TSUB) KUSKOP, Aidi Azli Wahit berkata program berkenaan menjadi platform untuk membantu usahawan memahami keperluan pensijilan Halal Malaysia, meneroka peluang bantuan geran serta mempelajari strategi pemasaran dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam perniagaan.

“Melalui program ini, peserta berpeluang memperoleh pengetahuan berkaitan persediaan pensijilan halal, peluang bantuan untuk mengembangkan perniagaan serta strategi pemasaran dan penggunaan AI bagi meningkatkan daya saing.

“Kita berharap inisiatif ini dapat membantu usahawan Sabah memperkukuh perniagaan halal masing-masing dan meneroka peluang untuk menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkasa usahawan halal di Sabah turut menunjukkan perkembangan positif apabila seramai 892 usahawan di negeri itu menerima manfaat menerusi empat program pembangunan halal sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Daripada jumlah itu, seramai 855 PMKS mendapat manfaat melalui Program Pembangunan Kapasiti Usahawan Halal, manakala tujuh PMKS menerusi Program Pembangunan Kapasiti Produk Halal.

Selain itu, sembilan PMKS menerima manfaat melalui Program Inovasi dan Teknologi Halal, sementara 21 PMKS menyertai Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal.

Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan mencerminkan komitmen KUSKOP untuk membantu usahawan meningkatkan keupayaan perniagaan serta memperluas penyertaan mereka dalam ekosistem halal.

Dalam pada itu, pengunjung Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia Edisi Sabah turut berpeluang mendapatkan pelbagai produk tempatan, menikmati tawaran istimewa menerusi Jualan MADANI KUSKOP dengan diskaun sehingga 30 peratus bagi barangan keperluan tertentu, selain mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan keusahawanan daripada agensi berkaitan.

Usahawan juga boleh mendapatkan maklumat mengenai inisiatif dan program pembangunan halal melalui laman web rasmi KUSKOP, Instagram Seksyen Pembangunan Halal menerusi akaun @halal.kuskop, atau menghubungi sekretariat melalui e-mel halal@kuskop.gov.my.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here