Indonesia, Thailand kongsi pingat emas sepak takraw Sukan Kurang Upaya Pantai Dunia 2025

INDONESIA mencipta kejutan apabila menyambar sebutir pingat emas daripada tiga yang dipertandingkan dalam sepak takraw berubah suai Sukan Kurang Upaya Pantai Dunia 2025 di Mersin, Turkiye yang berakhir kelmarin.

Indonesia memintas Thailand yang mulanya dijangka membolotnya dengan memenangi acara Lengan (ketiga-tiga pemain kurang upaya lengan) dalam saingan tiga penjuru termasuk Laos di Taman Budaya Mersin.

Thailand walau bagaimanapun tetap berjaya menaiki podium emas acara Campuran 1 (dua pemain kurang upaya lengan dan seorang pemain kurang upaya kaki) diikuti pingat perak milik Indonesia dan gangsa buat Laos.

Regu Thailand yang menjuarai acara Campuran 1.

Bagi acara Kuadran (Berempat) Campuran – dua pemain kurang upaya lengan dan dua pemain kurang upaya kaki pula, Pasukan B menjuarainya dengan menewaskan Pasukan A.

Penganjur Sukan Kurang Upaya Pantai Dunia (WAS) memutuskan untuk menggabungkan pemain-pemain dari ketiga-tiga negara peserta yang dibahagikan kepada Pasukan A dan B kerana kekurangan pemain yang setara seperti syarat awal.

Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Datuk Abdul Halim Kader berkata, “saya kagum dengan persembahan para pemain sepak takraw kurang upaya Thailand, Indonesia dan Laos malah setinggi-tinggi syabas diucapkan kepada komitmen penyertaan mereka di Mersin, Turkiye.

“Aksi hebat mereka tidak jauh bezanya dengan para pemain sepak takraw normal malah adakalanya dalam laporan daripada pegawai perlawanan yang diterima, semangat juang dan daya saing mereka sungguh luar biasa.

“Kawalan bola dan rejaman tiga pasukan negara itu menunjukkan kemahiran tinggi dan pengalaman luas mereka di sebalik keadaan fizikal mereka,” katanya yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

REGU Indonesia yang menjuarai acara Lengan.

Justeru Istaf dan Astaf tegasnya, bersedia membantu WAS mempromosi sepak takraw berubah suai atau kurang upaya ini ke lebih banyak negara ahli gabungan persekutuan khususnya bagi penganjuran Sukan Kurang Upaya Pantai Dunia edisi akan datang.

“Dengan masa yang lebih panjang dan aksi di Mersin itu, saya yakin ada lagi negara Asia atau lain-lain ahli gabungan Istaf yang turut memiliki pemain sepak takraw kurang upaya yang tentu teruja menyertai temasya ini pada masa hadapan.

“Malaysia, Brunei, Myanmar, Filipina, Vietnam, Korea Selatan dan India adalah antara calon negara baharu sepak takraw berubah suai yang pasti sudi beraksi sekiranya diundang nanti,” katanya.

KEPUTUSAN PENUH (JUARA SAHAJA)

Lengan: Indonesia kalahkan Laos 9-15, 15-8, 17-14; Indonesia kalahkan Thailand 15-13, 7-15, 15-13, Indonesia kalahkan Thailand 15-11, 17-15 (akhir).

Campuran 1: Thailand kalahkan Laos 15-7, 15-12; Thailand kalahkan Indonesia 15-0, 15-0, Thailand kalahkan Indonesia 15-13, 15-9 (akhir).

Kuadran Campuran: Pasukan B kalahkan Pasukan A 17-16, 15-13.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img