BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah menempah tiket ke final Terbuka Perancis 2026 selepas menewaskan pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam aksi separuh akhir di Arena Grand Paris, hari ini.
Pasangan pilihan kedua itu mempamerkan semangat juang tinggi untuk mencatat kemenangan 21-17, 22-20 dalam tempoh 47 minit, termasuk bangkit daripada ketinggalan 3-12 pada set kedua.
Kemenangan itu turut menyaksikan Pearly-Thinaah melebarkan rekod pertemuan dengan gandingan Jepun berkenaan kepada sembilan kemenangan berbanding dua kekalahan.
Dalam set kedua, beregu negara itu berusaha merapatkan jurang mata sebelum menyamakan kedudukan 18-18 dan sekali lagi pada 20-20, sekali gus menamatkan perlawanan dengan kemenangan menerusi mata-mata penting di penghujung aksi.
Pearly-Thinaah kini menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara pasangan pilihan utama Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, dan gandingan Indonesia, Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum, untuk menentukan lawan mereka di final kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 750 itu.
Mereka turut berpeluang meraih gelaran ketiga musim ini selepas menjuarai Masters Indonesia pada Januari dan Terbuka Denmark awal bulan ini.
Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, turut mengesahkan tempat ke final selepas menewaskan pasangan China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui, 21-13, 21-9 dalam satu lagi aksi separuh akhir.





