PRN Melaka: PH sandar rekod pilihan raya untuk raih kepercayaan pengundi

PAKATAN Harapan (PH) yakin mampu meraih kepercayaan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, berbekalkan pengalaman pentadbiran serta rekod perubahan politik yang pernah berlaku di negeri itu.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tanggapan bahawa pengundi Melaka akan terus menyokong Barisan Nasional (BN) tanpa mengira usaha yang dilakukan tidak semestinya mencerminkan pendirian sebenar rakyat.

Beliau berkata, PH percaya pengundi mampu menilai pilihan yang ada dan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan masing-masing.

“Walau ada orang kata, buatlah Jualan Rahmah 1,000 kali, buatlah apa pun, datanglah Perdana Menteri macam mana pun, mereka kata yakin mereka akan tetap undi BN.

“Saya sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan Nasional mempunyai keyakinan bahawa Melaka boleh lakukan perubahan dengan mengundi Pakatan Harapan dalam pilihan raya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka PH di pekarangan Stadium Hang Jebat di Melaka malam ini.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, perkembangan politik sebelum ini membuktikan sokongan pengundi di Melaka boleh berubah mengikut keadaan dan pilihan yang dibuat.

Katanya, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 2018, PH berjaya membentuk kerajaan negeri dengan Adly Zahari dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka.

Bagaimanapun, perubahan politik susulan Langkah Sheraton menyaksikan kerajaan negeri bertukar sebelum BN kembali menguasai pentadbiran Melaka pada PRN 2021.

Menurutnya, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 2022 turut memperlihatkan perubahan sokongan apabila PH memenangi semua kerusi Parlimen di Melaka, walaupun BN memperoleh kemenangan besar pada PRN sebelumnya.

“Ramai dulu yang kata, Melaka ini kalau cakap apa pun, dia tidak akan berubah. Melaka ini, kalau buat apa pun, dia tetap nak undi BN.

“Tetapi selepas 2018, rakyat Melaka mempunyai kebijaksanaannya. Kebijaksanaan dalam membuat keputusan,” katanya.

Amirudin berkata, PH mahu menjadikan Melaka sebagai rumah bersama untuk seluruh rakyat tanpa mengira kelompok atau latar belakang.

“Apa yang nak dibawa oleh Pakatan Harapan adalah memastikan Melaka ini rumah untuk seluruh rakyat Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata, keyakinan itu menjadi asas kepada usaha PH untuk mendapatkan mandat rakyat pada PRN kali ini menerusi tawaran berasaskan pengalaman pentadbiran dan kepentingan semua lapisan masyarakat.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here