DUA pengamal media yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Menglembu, Perak pagi tadi bakal menerima bantuan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sedang menguruskan penyaluran bantuan kepada wartawan Bernama, Nur Afiradina Arshad dan wartawan New Straits Times (NST), Zahratulhayat Md Arif.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, kedua-dua wartawan berkenaan sudah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan tidak mengalami kecederaan serius.
“Saya baru dimaklumkan oleh Ketua Pengarang Bernama, saudara Arul Rajoo Durar Raj bahawa kedua-dua wartawan yang terlibat kemalangan di Menglembu, Jalan Ipoh–Lumut pagi tadi telah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Saya mendoakan agar kedua-duanya dipermudah segala urusan dan kembali pulih seperti sediakala,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, Nur Afiradina, 34, dan Zahratulhayat, 37, sedang dalam perjalanan untuk membuat liputan program membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk.
Kereta Perodua Bezza yang dinaiki mereka dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lori ketika berhenti di lampu isyarat.
Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif kebajikan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) bagi membantu wartawan, bekas pengamal media dan wartawan veteran yang berdepan masalah kesihatan, ditimpa musibah atau memerlukan bantuan kewangan.
Inisiatif itu diuruskan Bernama selaku agensi pelaksana Kementerian Komunikasi bagi memastikan kebajikan dan jaringan keselamatan sosial pengamal media di seluruh negara terus terbela.





