Pramugara didakwa pandu mabuk hingga sebabkan kematian pekerja jalan raya

SEORANG pramugara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja penyelenggaraan jalan raya dan mencederakan seorang lagi pada Sabtu lalu.

Mohd Iman Nafiz Fong Mohd Sabirin, 26, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu kereta Ford Focus Sport dengan kandungan alkohol dalam darah sebanyak 64 miligram bagi setiap 100 mililiter, melebihi had ditetapkan 50 miligram bagi setiap 100 mililiter, sehingga menyebabkan kematian Faris Irfan Fazli, 29.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Parlimen, kira-kira jam 4.09 pagi pada 24 Oktober lalu, lapor BH.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000 jika sabit kesalahan, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya 10 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memandu kenderaan sama di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan kepada Ahmad Zakiyamani Zakaria @ Yusuff, 49, di lokasi dan pada waktu yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun dan denda RM30,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain memohon lesen memandu tertuduh digantung dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Beliau berkata, permohonan menyerahkan pasport dibuat kerana tertuduh beralamat di Kuching, Sarawak dan dikhuatiri berisiko melarikan diri.

Bagaimanapun, peguam bela Mohd Anif Rafih merayu supaya jaminan dikurangkan kepada RM30,000 serta membantah permohonan penyerahan pasport kerana dokumen itu diperlukan anak guamnya untuk menjalankan tugas sebagai pramugara.

“Anak guam saya memerlukan pasport bagi menjalankan pekerjaan hakikinya sebagai pramugara syarikat penerbangan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa anak guamnya masih bujang dan merupakan pencari nafkah tunggal keluarga, termasuk menanggung bapanya yang menghidap penyakit jantung serta sedang menerima rawatan di hospital.

Sebagai alternatif kepada penyerahan pasport, pihak pembelaan mencadangkan supaya tertuduh diwajibkan melapor diri di balai polis sebulan sekali.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan lesen memandunya digantung berkuat kuasa hari ini.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis pada setiap 1 haribulan dan menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Media pada Sabtu lalu melaporkan seorang pekerja penyelenggaraan maut manakala seorang lagi parah selepas dirempuh kereta dipandu lelaki berusia 26 tahun yang didapati mempunyai tahap alkohol melebihi had dibenarkan dalam darah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here