AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membuat kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam di TikTok.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membebaskan Ketua Armada Bersatu itu selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Media pada 20 Ogos tahun lalu melaporkan Muhammad Hilman dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan menimbulkan kegentaran awam melalui kenyataan yang dimuat naik di akaun TikTok pada Julai tahun lalu.
Muhammad Hilman didakwa di hadapan Majistret Amira Abd Aziz mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia dituduh membuat kenyataan di akaun TikTok ‘alfah.channel.tv’ yang mungkin menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Video TikTok itu memaparkan ucapan Muhammad Hilman ketika Himpunan Malam Solidariti Tolak Akta Hasutan pada 29 Julai lalu, yang dianjurkan bagi membantah penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap pemimpin politik dan aktivis.





