JPJ kesan enam kes lumba haram, menduga kelajuan

JABATAN Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) mengesan enam kes membabitkan aktiviti lumba haram dan menduga kelajuan dalam Ops Khas Motosikal di sekitar ibu negara, malam tadi hingga awal pagi ini.

Operasi dengan kerjasama JPJ Ibu Pejabat Putrajaya itu dilaksanakan di sekitar Jalan Raja Laut, Jalan Ampang dan pusat bandar Kuala Lumpur bermula jam 10 malam, 25 Oktober hingga 5 pagi, 26 Oktober.

JPJ WPKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan, daripada enam kes dikesan, dua membabitkan lumba haram manakala empat lagi kes menduga kelajuan.

“Operasi yang melibatkan 37 anggota penguat kuasa itu memberi tumpuan kepada penguatkuasaan di bawah Seksyen 42A(1) dan Seksyen 42A(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sepanjang operasi, sebanyak 35 kenderaan diperiksa, 11 kenderaan diambil tindakan dan 47 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Kesalahan itu termasuk tidak memiliki lesen memandu sah, lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, kesalahan teknikal, pengubahsuaian kenderaan serta nombor pendaftaran dan ekzos yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, sembilan motosikal turut disita bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Menurut kenyataan itu, Seksyen 42A merupakan peruntukan baharu di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memperkukuh tindakan terhadap aktiviti lumba haram dan menduga kelajuan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Individu yang disabitkan kesalahan kali pertama boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi sabitan kali kedua atau berikutnya, hukuman meningkat kepada denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

JPJ WPKL menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berfokus dan bersepadu, khususnya di lokasi berisiko tinggi, bagi membanteras kegiatan samseng jalanan serta memastikan pematuhan undang-undang jalan raya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here