ISTANA Pahang hari ini menafikan sekeras-kerasnya penyebaran klip video rekaan di TikTok yang mengaitkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dengan kehadiran baginda ke Indonesia bagi menyaksikan ritual keagamaan.
Penafian itu dibuat menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang susulan penyebaran video berkenaan yang didakwa bertujuan menarik perhatian pengguna media sosial.
Menurut hantaran itu, video berkenaan tidak menunjukkan sebarang kehadiran Tengku Mahkota Pahang sebaliknya dipercayai rekaan dan fitnah yang disebarkan menerusi akaun TikTok disyaki scammer.
“Video berkenaan langsung tidak menunjukkan sebarang kehadiran Tengku Mahkota Pahang malah hanya rekaan dan fitnah bagi menarik orang ramai melalui platform media sosial yang disyaki scammer,” menurut hantaran itu.
Istana Pahang turut memaklumkan penafian berkenaan susulan penyebaran mesej menggunakan nama Tengku Hassanal yang dipercayai bertujuan memperdaya orang ramai.
Perbuatan itu disifatkan sebagai cubaan penipuan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan imej institusi diraja.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta agar lebih berhati-hati, bijak menilai kesahihan sesuatu maklumat serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran palsu yang disebarkan di media sosial,” menurut hantaran itu.





