BEKAS Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad memberi bayangan kemungkinan kembali menyertai parti itu selepas hampir sedekad meninggalkannya, menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
Petunjuk itu timbul ketika tokoh politik berusia 82 tahun berkenaan mengadakan kunjungan terhadap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Asyraf Wajdi berkongsi jawapan ringkas Mohd Radzi ketika ditanya mengenai kemungkinan kembali menyertai parti itu.
“Insya-Allah tak lama lagi!” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, kunjungan itu memberinya peluang menimba ilmu dan pengalaman daripada tokoh veteran yang banyak berjasa kepada UMNO.
Menurutnya, jawapan Mohd Radzi yang diberikan secara ringkas selepas persoalan itu diajukan secara berjenaka turut memberi bayangan positif terhadap usaha mengajak semula bekas pejuang parti menyertai UMNO.
“(Beliau memberikan) jawapan ringkas (mengenai hasrat kembali menyertai UMNO) sebelum beredar sudah cukup memberikan kepuasan kepada saya dalam usaha mengembalikan semula semua pejuang UMNO lama dan baharu untuk kembali mengukuhkan UMNO sebuah Rumah Bangsa,” katanya.
Mohd Radzi merupakan antara tokoh politik yang aktif ketika pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pernah memegang beberapa jawatan dalam Kabinet, termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Menteri Dalam Negeri serta Menteri Dalam Negeri.
Beliau menyertai UMNO pada 1972 sebelum memenangi kerusi Parlimen Kangar pada 1982.
Ketika krisis UMNO susulan pemilihan parti pada 1987, Mohd Radzi dilaporkan menyokong Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang mencabar kedudukan Dr Mahathir sebagai Presiden parti.
Beliau kemudian menyertai Tengku Razaleigh mengasaskan Semangat 46 sebelum kembali menyertai UMNO selepas parti itu dibubarkan.
Pada 2006, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri melantik Mohd Radzi sebagai Menteri Dalam Negeri.
Bekas Ahli Dewan Negara itu kemudiannya menyertai Bersatu dan pernah memegang jawatan Pengerusi Lembaga Rayuan parti berkenaan pada 2018.
Perkembangan terbaharu itu mencetuskan tanda tanya mengenai kemungkinan Mohd Radzi kembali ke pangkuan UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa yang bertujuan menghimpunkan semula bekas anggota dan pejuang parti berkenaan.




