PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap enam pelajar tingkatan lima sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang disyaki terlibat dalam kes buli sehingga memaksa seorang pelajar memohon untuk keluar daripada institusi berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya amat berdukacita, kesal dan kecewa kerana kejadian buli masih berlaku, selepas menerima maklumat mengenainya menerusi perkongsian ibu bapa mangsa dalam media sosial Threads.
Beliau berkata, kejadian itu hanya diketahui selepas mangsa meminta ibu bapanya mengeluarkannya daripada MRSM kerana tidak tahan dibuli.
“Saya telah mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah Mara dan pihak pentadbir MRSM supaya mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) dengan kadar segera dalam tempoh satu hari untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas menyingkirkan pelajar-pelajar yang terbabit dengan perbuatan ini.
“Walau dengan apa juga alasan, perbuatan buli dengan mengambil tindakan sendiri kononnya untuk mendisiplinkan pelajar-pelajar junior adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima dan dikompromikan,” katanya, lapor Buletin TV3.
Beliau dimaklumkan perbuatan itu disyaki dilakukan oleh enam orang pelajar tingkatan lima dan ibu bapa pelajar tersebut telah membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Enam pelajar berkenaan juga telah ditahan reman selama dua hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.
“Saya selalu tekankan, you touch, you go, amaran ini berkali-kali telah saya berikan kepada semua pelajar. Kalau ada sahaja perbuatan buli, kalian tiada tempat di MRSM,” tegas .
Pada masa yang sama, Asyraf Wajdi menyeru semua pelajar supaya tidak takut tampil membuat laporan sekiranya menjadi mangsa atau mengetahui berlakunya kejadian buli.
Katanya, pelajar tidak seharusnya mengambil keputusan meninggalkan MRSM hanya kerana tidak mampu menahan tekanan akibat dibuli.






