POLIS Perak menumpaskan tiga sindiket penipuan dalam talian yang menjalankan kegiatan penipuan pinjaman wang, pelaburan palsu dan panggilan telefon menerusi beberapa serbuan di Kampar dan Ipoh antara 22 hingga 26 Oktober lalu.
Operasi berasingan itu membawa kepada penahanan 36 individu, termasuk warga tempatan serta warga Thailand, China dan Jepun.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kes pertama membabitkan penahanan enam individu dalam dua serbuan di sebuah pangsapuri di Bandar Agacia, Kampar pada 22 Oktober lalu.
Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 19 hingga 30 tahun.
Polis turut merampas 13 telefon bimbit dan enam kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang dianggarkan bernilai RM15,000, katanya.
Menurut Mohd Alwi, sindiket itu dipercayai menyasarkan mangsa di Malaysia dengan menawarkan pinjaman wang menerusi Facebook sebelum meneruskan komunikasi melalui Telegram dan WhatsApp.
“Mangsa akan diminta untuk menghantar kad ATM dan kata laluan sebagai cagaran bagi mendapatkan pinjaman wang yang ditawarkan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh hari ini.
Dalam kes kedua, Mohd Alwi berkata, sebanyak 25 warga China iaitu 24 lelaki dan seorang wanita ditahan dalam serbuan di sebuah kilang di kawasan perindustrian ringan Bercham, Ipoh pada 23 Oktober lalu.
Serbuan itu katanya, turut menyaksikan polis merampas 25 komputer dan empat penghala internet yang dianggarkan bernilai RM25,000.
Sindiket berkenaan dipercayai menjalankan penipuan pelaburan dengan menyasarkan warga China menerusi tawaran pelaburan palsu yang dipromosikan di TikTok sebelum mangsa dibawa berkomunikasi melalui Telegram, menurut beliau.
“Individu yang terlibat dipercayai dijanjikan gaji bulanan sebanyak RM8,000 untuk menjalankan kegiatan itu, yang dikesan aktif sejak akhir September lalu,” tambahnya.
Sementara itu, beliau memberitahu, kes ketiga membabitkan penahanan lima lelaki warga Jepun berusia antara 21 hingga 27 tahun dalam serbuan di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Simee, Ipoh pada 26 Oktober lalu.
Mohd Alwi berkata, sindiket itu dipercayai menggunakan taktik menyamar sebagai kakitangan hospital di Jepun sebelum memaklumkan kepada mangsa bahawa ahli keluarga mereka terbabit dalam kemalangan dan memerlukan pembedahan segera.
“Mangsa kemudian diminta membuat bayaran melalui aplikasi Signal ke akaun bank di Jepun.
“Dalam serbuan itu, polis merampas 16 telefon bimbit, tujuh iPad dan dua penghala internet yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM22,500,” katanya.





