SEORANG lelaki cedera di bahu kiri selepas ditembak beberapa das oleh dua individu bersenjata api ketika berada di sebuah stesen minyak di Bidor Sentral di Tapah semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.08 petang ketika mangsa yang berusia 41 tahun tiba di stesen minyak terbabit dengan menaiki Toyota Land Cruiser putih untuk mengisi minyak.
Menurutnya, sebuah Honda City berwarna hitam dipercayai datang dari arah Pekan Bidor sebelum berhenti di hadapan kenderaan mangsa.
“Dua lelaki yang dipercayai bersenjata api kemudian keluar dari kenderaan berkenaan dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan mangsa sebelum melarikan diri.
“Ketika kejadian, terdapat lima individu di dalam kenderaan mangsa, bagaimanapun kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa terkena satu das tembakan di bahu kiri dan dikejarkan ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke sebuah hospital di Ipoh.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Mohd Alwi berkata, pemeriksaan pasukan forensik di lokasi menemukan sebutir peluru jenis 9mm Luger, empat kelongsong peluru jenis sama serta serpihan anak peluru.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan mangsa turut menemukan beberapa serpihan anak peluru serta kesan tembakan pada bahagian kenderaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian sememangnya melibatkan penggunaan senjata api dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian,” katanya.
Pasukan penyiasat kini turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi berkaitan, termasuk laluan sekitar Bidor dan plaza tol yang dikenal pasti.
Analisis terhadap barang kes turut dijalankan bagi membantu siasatan.
Kes ini kata Mohd Alwi, disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.





