Tiga remaja ditahan, sembilan kes khianat dipercayai berkait Along

POLIS menahan tiga remaja lelaki tempatan berusia 19 tahun bagi membantu siasatan sembilan kes khianat membabitkan perbuatan menyimbah cat dan membaling botol berisi petrol berapi di lima negeri.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, ketiga-tiga suspek ditahan dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang pada 22 Oktober lalu, susulan kejadian khianat di Taiping yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pinjaman wang tidak berlesen.

Menurutnya, sembilan kes yang disiasat itu melibatkan dua kejadian di Perak, tiga di Kedah, dua di Johor serta masing-masing satu di Pulau Pinang dan Selangor.

Beliau berkata, operasi khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dijalankan selepas dua kejadian dilaporkan di daerah berkenaan, masing-masing pada 19 September dan 10 Oktober lalu.

“Dalam kejadian pertama di Taman Pura Jaya, Simpang, dua lelaki dipercayai menyimbah cat merah dan membaling botol berisi petrol berapi ke arah rumah mangsa.

“Kejadian kedua pula berlaku di Taman Seri Larut, Simpang, apabila rumah mangsa dan jirannya disimbah cat merah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini, lapor Buletin TV3.

Mohd Alwi berkata, berdasarkan maklumat risikan, polis menyerbu tiga lokasi di Pulau Pinang antara jam 5 petang hingga 9 malam pada 22 Oktober lalu.

Suspek pertama yang merupakan pelajar kolej ditahan di Tanjong Bungah bersama sebuah kereta Proton X70, manakala suspek kedua yang bekerja sebagai penjaga stor ditahan di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam, bersama Nissan Teana.

Suspek ketiga, yang juga pelajar kolej, ditahan di Taman Machang Bubuk bersama sebuah Honda City.

“Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Siasatan awal mendapati mereka saling mengenali dan dipercayai bergerak ke beberapa negeri untuk melaksanakan tugasan khianat selepas menerima arahan melalui aplikasi WhatsApp daripada individu tidak dikenali.

Mereka dipercayai dibayar antara RM500 hingga RM1,000 bagi setiap tugasan yang diselesaikan.

Pergerakan kumpulan itu turut dikesan di beberapa lokasi di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor, termasuk Sungai Way, Jempol, Permas Jaya, Kangkar Pulai serta Seremban.

Polis kini sedang mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas, selain memburu individu yang dipercayai menjadi dalang dan mengarahkan kegiatan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan khianat serta Seksyen 435 kanun sama bagi kesalahan khianat menggunakan api.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here