DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak mendiskriminasi kawasan Parlimen yang diwakili pembangkang dalam pemberian peruntukan pembangunan, sebaliknya agihan dibuat berdasarkan keperluan rakyat dan keutamaan negara.
Perdana Menteri berkata, peruntukan Persekutuan kepada Terengganu yang ditadbir pembangkang meningkat kepada RM8.23 bilion berbanding RM6 bilion pada 2022.
“Ini diskriminasi apa? Banyak yang disebut zalim. Zalim apa ini?.
“Satu kawasan yang 100 peratus sokongan pembangkang, kita tambah (peruntukan) RM2.2 bilion. Ini memang luar biasa zalim,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini, lapor Sinar Harian.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penentuan peruntukan pembangunan mengambil kira keutamaan negara, keperluan penduduk setempat dan kemampuan kewangan kerajaan.
Menurutnya, proses berkenaan turut mempertimbangkan input kementerian, jabatan, kerajaan negeri serta pejabat daerah bagi memastikan pelaksanaan pembangunan memenuhi keperluan rakyat.
Beliau menjelaskan, peruntukan pembangunan bagi sesuatu kawasan Parlimen perlu dibezakan daripada dana yang disalurkan secara langsung kepada Ahli Parlimen kerana projek tidak semestinya dilaksanakan melalui wakil rakyat berkenaan.
“Apakah mesti projek itu melalui Ahli Parlimen?. Tidak. Dalam kawasan parti-parti kerajaan pun, (peruntukan) tidak diberi kepada Ahli Parlimen.
“Ahli Parlimen mengesahkan projek itu. Dana untuk pembangunan tidak diberi kepada Ahli Parlimen,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan bersedia melaksanakan mekanisme penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang berdasarkan persetujuan yang pernah dibincangkan sebelum ini.
Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof telah diberikan mandat untuk mengadakan rundingan mengenai perkara berkenaan.
Anwar berkata, kerajaan bersedia meluluskan pelaksanaan persetujuan itu sebaik sahaja dokumen berkaitan ditandatangani.
“Kita dah minta menemui TPM II, yang diberikan mandat untuk berbincang, ada tandatangan, saya luluskan. Saya kata kalau sign hari ini, esok pun diuruskan. Dah tak mahu sign, itu bukan masalah saya.
“Mengandaikan bahawa tidak ada kelulusan dan peruntukan, saya tidak setuju kerana peruntukan untuk rakyat telah disampaikan, itu semua diluluskan,” katanya.





