Institusi Bumiputera, Islam patut amal tadbir urus lebih baik 

INSTITUSI berkaitan kerajaan yang diberi mandat menjaga kepentingan Bumiputera dan umat Islam perlu menjadi contoh dalam amalan tadbir urus baik, khususnya dari segi integriti, ketelusan dan akauntabiliti pengurusan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata institusi berkenaan sepatutnya mengamalkan prinsip tadbir urus lebih ketat bagi memastikan tanggungjawab yang diamanahkan dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau berkata mandat menjaga kepentingan kumpulan tertentu tidak boleh dijadikan alasan untuk berkompromi terhadap kelemahan pengurusan atau amalan yang bertentangan dengan prinsip tadbir urus baik.

“Memang betul, kebanyakan GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) walaupun milik kerajaan sepenuhnya, ada juga yang diperuntukkan bidang kuasa untuk menjaga kepentingan Bumiputera ataupun dalam konteks Tabung Haji, umat Islam.

“Sebab itu sepatutnya prinsip tatakelola, tadbir urus itu harus lebih ketat kerana saya yakin dengan budaya Melayu dan Islam, itu harus kita berikan contoh (yang baik)…janganlah pula apa yang berlaku sekarang ini menunjukkan bila nama Bumiputera ataupun Islam, tapi tadbir urusnya lebih parah daripada syarikat lain,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai langkah memastikan dana pelaburan GLIC digunakan secara berhemah dan tidak disalahgunakan untuk menyelamatkan syarikat besar yang menghadapi masalah kewangan.

Perdana Menteri turut mengingatkan supaya kelemahan tadbir urus tidak mencemarkan nama baik institusi yang diberi mandat menjaga kepentingan Bumiputera dan umat Islam.

Menjawab soalan asal Syahredzan Johan (PH-Bangi) berhubung peranan GLIC dan GLC dalam menjayakan projek pembangunan dan kesejahteraan rakyat, Anwar berkata mandat institusi berkenaan perlu mengambil kira kepentingan agenda nasional, termasuk penyediaan perumahan, kemudahan pendidikan, pemeliharaan warisan serta pembangunan ekonomi tempatan.

Beliau berkata penglibatan GLIC dan GLC dalam projek berkepentingan rakyat bukan perkara baharu, sebaliknya sebahagian daripada tanggungjawab institusi berkenaan dalam menyokong pembangunan negara untuk jangka panjang.

“Ada pandangan yang dikemukakan mengapa penglibatan dalam aspek perumahan itu bukan mandat Petronas. Tidak tepat, sebab Petronas umpamanya dalam Putrajaya Holdings. Dari awal Putrajaya dibangunkan dengan dana Petronas.

“Putrajaya itu bukan sahaja pejabat kerajaan, tapi juga hotel, kementerian, swasta dan pelaburan dalam pelbagai bidang serta dalam bidang pelancongan…malah sebelum ini terdapat GLIC yang membangunkan kemudahan kediaman untuk pelajar Malaysia di luar negara, termasuk Kanada, Korea dan Belanda,” katanya.

Anwar berkata antara inisiatif dilaksanakan ialah pembangunan Kota MADANI di Putrajaya yang turut memberi tumpuan kepada penyediaan kediaman untuk penjawat awam bagi menangani kekangan perumahan di kawasan berkenaan.

Dalam aspek pembangunan komuniti, beliau berkata sebanyak 500 kampung dan 1,700 sekolah menerima pelbagai manfaat melalui pelaksanaan program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI dengan penyertaan GLIC serta syarikat swasta.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here