Anggota Maritim Malaysia maut: Bot dipercayai rempuh bongkah konkrit

ANGGOTA Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laskar Kanan Maritim (Teknikal), Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan dipercayai mengalami kecederaan di kepala selepas tercampak ketika bot peronda dinaikinya merempuh bongkah konkrit di perairan Sungai Padang di Kangar malam tadi.

Bagaimanapun, punca sebenar kematian anggota berusia 41 tahun itu belum dapat dipastikan kerana pihak berkuasa sedang menunggu laporan bedah siasat.

Pengarah Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pemeriksaan fizikal mendapati Allahyarham Mohd Roshaimi mengalami kecederaan pada kepala yang dipercayai berlaku ketika dia tercampak akibat perlanggaran berkenaan.

“Secara fizikalnya, kita nampak dia (Mohd Roshaimi) mengalami kecederaan pada kepala. Kemungkinan besar ketika tercampak, kepalanya terkena pada bongkah konkrit.

“Namun, punca sebenar kematian belum dapat disahkan kerana masih menunggu laporan bedah siasat hospital,” katanya dalam sidang media berhubung kejadian tragis itu di Kangar hari ini, lapor BH.

Kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu berlaku ketika lima anggota Maritim Malaysia menjalankan operasi mengejar sebuah bot yang disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan berkenaan.

Romli berkata, operasi bermula kira-kira jam 8 malam susulan maklumat mengenai pencerobohan PATI di sekitar perairan Kuala Sanglang.

Menurutnya, bot peronda mengesan sebuah bot berenjin sangkut yang mencurigakan sebelum mengejarnya selama kira-kira 15 minit.

“Ketika dibuat suluhan ke atas bot itu, kita dapati ia sarat dengan individu disyaki PATI yang cuba membolosi perairan negara menyebabkan anggota kita mengejar bot terbabit selama kira-kira 15 minit.

“Bot suspek cuba bertindak agresif dengan menghimpit… dalam keadaan gelap itu, bot kita terlanggar bongkah konkrit tinggalan jeti lama di pesisir pantai Sungai Padang yang tenggelam ketika air pasang,” katanya.

Walaupun bot peronda mengalami kerosakan akibat perlanggaran itu, anggota Maritim Malaysia meneruskan usaha menahan bot berkenaan dan melepaskan 10 das tembakan bagi mempertahankan diri, tambah beliau.

Romli berkata, bot dinaiki PATI itu akhirnya berjaya ditahan kira-kira jam 11.45 malam, pada jarak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian, dengan sembilan PATI warga Myanmar terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita berada di dalamnya.

Operasi menyelamat anggota yang terlibat turut mendapat bantuan nelayan setempat.

Seorang anggota berusia 39 tahun yang mengalami patah tangan kanan ditemukan berpaut pada bongkah konkrit, manakala dua lagi anggota dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Mohd Roshaimi pula ditemukan terapung pada jam 1.30 pagi sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar namun disahkan meninggal dunia.

Allahyarham meninggalkan isteri, Sajaratul Akmal Abdul Shukor, 41, serta dua anak berusia 14 dan 11 tahun.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here