Chegubard dipenjara empat bulan kerana fitnah jenayah

AKTIVIS Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah atas kesalahan fitnah jenayah membabitkan kenyataan yang boleh mencemarkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Hakim Norma Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Menurutnya, hukuman berkenaan dijatuhkan selepas mahkamah mendengar hujahan mitigasi daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, lapor FMT.

Muhammad Rafique berkata, mahkamah turut menaikkan jumlah jaminan Badrul Hisham kepada RM5,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman.

Badrul Hisham, 47, didakwa pada 29 April 2024 atas kesalahan yang didakwa dilakukan pada 22 Januari tahun sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau sebelum ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Julai lalu. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkannya membela diri.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here