Polis KL rampas 394kg dadah bernilai RM2.15 juta, mampu bekal 1.31 juta pengguna

POLIS Kuala Lumpur berjaya merampas sejumlah 393.965 kilogram (kg) dadah menerusi sembilan serbuan di sekitar Lembah Klang yang dianggarkan mampu membekalkan sehingga 1.31 juta pengguna pada satu-satu masa.

Rampasan bernilai RM2.15 juta itu dilakukan dalam operasi selama empat hari bermula 19 Oktober lalu yang membawa kepada penahanan 23 individu termasuk enam warga asing.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, operasi bersepadu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras itu menyasarkan tiga sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar Lembah Klang.

SEBAHAGIAN daripada 394 kilogram pelbagai jenis dadah yang dirampas bernilai RM2.15 juta selepas menumpaskan tiga sindiket di Lembah Klang, dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur hari ini. GAMBAR: Nurul Shafina Jemenon

Menurutnya, sembilan serbuan dijalankan di beberapa lokasi termasuk Cheras, Brickfields, Dang Wangi dan Ampang, Selangor.

“Dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu membekalkan bekalan kepada 1.31 juta pengguna pada satu-satu masa, berdasarkan anggaran penggunaan sebanyak 0.3 gram bagi setiap individu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Fadil berkata, operasi pertama membabitkan empat serbuan di tiga kondominium di Sungai Besi, Cheras dan Bandar Baru Seri Petaling, yang membawa kepada penahanan 10 lelaki.

Dalam operasi itu, katanya, polis merampas 123.574kg disyaki MDMA dalam 530 peket plastik, 59.05kg MDMA cecair dalam 190 botol serta sejumlah ketamin. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM250,300.

Operasi kedua pada 20 Oktober pula tambah beliau, menyaksikan 11 suspek ditahan menerusi empat serbuan di Sungai Besi, Taman Sri Endah, Ampang Mewah dan Bukit Bintang.

Katanya, dalam serbuan itu polis merampas sejumlah 52.75kg disyaki MDMA, 130.8kg MDMA cecair, 9.76kg serbuk MDMA, 365 gram pil ekstasi, 290 gram ketamin, 1,250 pil Erimin 5 seberat 385 gram serta 5.5kg lagi MDMA cecair. Nilai dadah yang dirampas dianggarkan RM312,765.

Menurut Fadil, operasi ketiga pada 22 Oktober di sebuah kondominium di Pudu merekodkan nilai rampasan tertinggi iaitu RM1.59 juta.

Dalam serbuan itu, beliau berkata, polis merampas 10.605kg disyaki MDMA dan satu gram metamphetamine.

Secara keseluruhan, ketiga-tiga operasi merekodkan rampasan 393.965kg dadah bernilai RM2,153,847.

Fadil berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit mempunyai anggota dengan peranan berbeza, termasuk individu yang dipercayai bertindak sebagai ketua, pengedar dan pihak yang membantu melancarkan kegiatan mereka.

Polis turut menyiasat kemungkinan wujud hubungan antara suspek yang ditahan dan tidak menolak kemungkinan tangkapan lanjut akan dilakukan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here