Politik kebencian ancam perpaduan, belia perlu jadi ejen pendamai

GOLONGAN belia perlu menolak politik kebencian yang boleh mencetuskan perpecahan masyarakat, sebaliknya mengangkat budaya politik matang berteraskan perpaduan, integriti dan kesejahteraan rakyat.

Pengerusi Gerakan Belia 4B (M) Kawasan Tampin, Mohd Syafiq Ikhwan Mohd Isam berkata, perbezaan ideologi dan sokongan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghina, memfitnah atau menjatuhkan maruah pihak lain.

Beliau berkata, politik sepatutnya menjadi wadah untuk membina masa depan negara menerusi persaingan idea dan dasar, bukannya medan menyemai permusuhan dalam kalangan rakyat.

MOHD Syafiq Ikhwan Mohd Isam

Amalan politik kebencian boleh membawa kesan buruk apabila sentimen kaum, agama dan kepartian dieksploitasi sehingga menjejaskan kepercayaan antara masyarakat. Jika dibiarkan berlarutan, keadaan itu berisiko mencetuskan ketegangan sosial serta menggugat keharmonian negara yang dibina atas kepelbagaian kaum dan budaya.

Lebih membimbangkan, penyebaran fitnah dan provokasi melalui media sosial boleh mempercepatkan penularan kebencian, khususnya dalam kalangan anak muda. Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan usaha menyatukan masyarakat, malah boleh mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang memerlukan penyelesaian seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup dan masa depan generasi muda.

Sehubungan itu, beliau berpandangan golongan belia perlu memainkan peranan sebagai ejen perpaduan dengan menolak sebarang usaha yang mengapi-apikan permusuhan, selain membudayakan perbincangan berasaskan fakta dan hujah yang rasional.

ANAK muda tidak seharusnya diperalatkan oleh mana-mana pihak untuk menyebarkan permusuhan dan budaya fitnah. GAMBAR hiasan

Menurutnya, pemimpin politik juga perlu menunjukkan teladan dengan mengutamakan penyelesaian masalah rakyat berbanding menggunakan sentimen dan provokasi untuk meraih sokongan.

“Sebagai generasi pelapis kepimpinan negara, kita perlu sedar bahawa perbezaan ideologi, fahaman dan sokongan politik merupakan perkara biasa dalam sebuah negara demokrasi. Namun, perbezaan tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghina, memfitnah atau menjatuhkan maruah pihak lain.

“Kami mahu melihat budaya politik yang lebih matang, berhemah dan berteraskan fakta, bukannya sentimen serta provokasi. Pemimpin seharusnya bersaing melalui idea, dasar dan kemampuan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya berlumba-lumba mencetuskan kebencian demi meraih sokongan,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Mohd Syafiq Ikhwan berkata, anak muda tidak seharusnya diperalatkan oleh mana-mana pihak untuk menyebarkan permusuhan, sebaliknya perlu berani menolak fitnah dan mengutamakan kepentingan rakyat melebihi kepentingan politik kepartian.

“Kita boleh berbeza pendapat tanpa bermusuhan, boleh berbeza perjuangan tanpa memutuskan persaudaraan, dan boleh menjadi lawan dalam politik tanpa menjadi musuh dalam kehidupan.

“Inilah kematangan yang perlu dibina demi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh warga belia supaya bersama-sama mengangkat politik yang berteraskan perpaduan, integriti dan kesejahteraan rakyat.

“Jangan sampai kerana perbezaan politik, kita kehilangan nilai persaudaraan. Politik mungkin memisahkan sokongan kita, tetapi jangan sesekali membiarkannya memisahkan hati kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here