Umat Islam diingatkan kuasai teknologi baharu atau terus ketinggalan – PM

UMAT Islam perlu menguasai kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum bagi memastikan mereka mampu bersaing dalam perkembangan ilmu serta teknologi global, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kegagalan menguasai teknologi baharu boleh menyebabkan umat Islam terus ketinggalan, sebagaimana berlaku sebelum ini apabila kelemahan dalam penguasaan teknologi menjadi antara faktor yang mempengaruhi kedudukan mereka.

“Kerana ilmu baru, teknologi baru, AI, Quantum Computing, kalau tidak kita kuasai, orang akan menelan kita. Itu prinsip dia.

“Dulu kita kalah kerana mereka kuasai teknologi, kita tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.

Majlis itu menampilkan pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara yang menyampaikan tausiyah umum kepada lebih 200 hadirin.

Anwar berkata, usaha menguasai ilmu dan teknologi baharu perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan akidah, akhlak, nilai serta budaya bagi memastikan kemajuan tidak menyebabkan masyarakat kehilangan identiti dan asas pembinaan tamadun.

Menurutnya, kemajuan tidak seharusnya diukur berdasarkan keupayaan menguasai teknologi semata-mata, sebaliknya perlu disertai pegangan nilai yang kukuh supaya ilmu dimanfaatkan untuk kebaikan masyarakat.

Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan tema Belanjawan 2027, iaitu Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi, yang menekankan kepentingan meneroka ilmu dan kemajuan baharu tanpa mengabaikan nilai yang menjadi asas kehidupan.

Justeru, Anwar berkata, tradisi ilmu perlu terus diperkukuh supaya umat Islam bukan sahaja mampu mengikuti perubahan teknologi, malah dapat memanfaatkannya dengan berpandukan akidah dan akhlak.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here