BN-Pas meterai kerjasama hadapi PRN Melaka, akan guna satu manifesto bersama

KERJASAMA Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) disahkan hari ini apabila termeterai perjanjian antara kedua-dua pihak di Kuala Lumpur. bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Melaka.

Melalui hantaran dalam Facebook, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perjanjian itu melibatkan BN dan Pas  yang mewakili parti-parti daripada Perikatan Nasional  (PN).

‘’Moga semangat perpaduan ummah dan gelombang biru akan terus subur memugar di bumi Melaka pada Pilhanraya Umum Negeri demi manfaat kemakmuran dan kestabilan negeri dan rakyat. Moga Allah merahmati usaha ini,’’ katanya.

Pemimpin BN dan Pas yang hadir ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Perjanjian itu sekaligus bermakna Pas dan rakan dalam PN akan bertanding di tujuh kerusi iaitu Kesidang, Paya Rumput, Bemban, Kota Laksamana, Bukit Katil,Ayer Keroh dan Bandar Hilir.

Sementara itu dalam satu kenyataan Asyraf Wajdi berkata, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO  hari ini  bersetuju sebulat suara untuk mengabsahkan kerjasama dan persefahaman politik dengan rakan strategik Pas dan rakan-rakan daripada PN bagi menghadapi PRN Melaka tersebut.

‘’MT  mengarahkan agar seluruh jentera dan penyokong parti membantu sepenuh hati dan memberikan sokongan padu kepada semua calon-calon Perikatan Nasional yang bakal bertanding di Dewan-Dewan Undangan Negeri dalam PRN Melaka kali ini.

‘’Bersetuju untuk Barisan Nasional dan Perikatan Nasional melancarkan Manifesto Pilihanraya bersama bagi menawarkan khidmat yang terbaik kepada rakyat bagi meneruskan kecemerlangan perkhidmatan dan pembangunan negeri oleh kerajaan negeri Melaka sebelum ini,’’ katanya.

Asyraf Wajdi berkata, MT UMNO menyeru agar pimpinan dan jentera parti sentiasa mengamalkan kempen pilihanraya secara berhemah dan berakhlak tanpa perlu terjebak dengan sebarang perbuatan memfitnah, mengeji ataupun memaki-hamun parti lawan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here