Polis tahan lelaki menyamar pengiring Raja Muda Selangor, terlibat kes tipu RM1.452 juta

POLIS  menahan seorang lelaki dipercayai suspek utama kes penipuan penjualan kenderaan dan kediaman yang menggunakan gambar Raja Muda Selangor membabitkan kerugian keseluruhan dianggarkan RM1.42 juta.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata tangkapan terhadap suspek berusia 40 tahun itu dilakukan di Johor Bahru semalam susulan 26 laporan polis yang diterima di seluruh negara sejak 2023.

“Suspek diberkas di sebuah kediaman milik kenalannya di Johor, iaitu lokasi dia bersembunyi untuk menghilangkan diri sejak 13 Okt lepas.

“Sepasang adik-beradik yang juga kenalan suspek turut ditahan, iaitu wanita berusia 26 tahun dan abangnya berusia 27 tahun, masing-masing di Shah Alam serta Johor Bahru kerana dipercayai bersubahat menyembunyikan suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

Shazeli berkata siasatan lanjut mendapati suspek menggunakan modus operandi sama pada setiap mangsa, iaitu mengaku sebagai pegawai pengiring kepada Raja Muda Selangor sebelum menawarkan premis kediaman pelbagai kategori dan kenderaan.

Beliau berkata suspek yang bekerja sendiri itu tiada kaitan atau pendaftaran tugas dengan mana-mana istana mahupun institusi diraja Selangor.

“Di Selangor sahaja 15 laporan polis telah dibuka melibatkan nilai kerugian RM960,020. Suspek dipercayai mula aktif dengan kegiatan penipuan sejak 2023 yang turut melibatkan mangsa dari Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Perlis.

“Polis sedang memohon reman terhadap kesemua suspek mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan dan kes berkenaan masih disiasat secara terperinci untuk mengesan saki-baki ahli kumpulan atau rakan jenayah yang masih bebas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shazeli memaklumkan polis menumpaskan sindiket penipuan dalam talian dengan menahan 58 individu dalam serbuan berasingan di lapan lokasi di Selangor antaranya Serdang, Subang Jaya, Sepang dan Gombak pada 20 hingga 26 Okt.

“Kesemua tangkapan berusia 20 hingga 50 tahun itu melibatkan lapan lelaki tempatan serta 45 lelaki dan lima wanita warga asing yang kebanyakannya berasal dari Asia Timur.

“Siasatan lanjut turut dilaksanakan bersama-sama Jabatan Imigresen Malaysia bagi pengesahan dokumen dan setakat ini kesemua mereka didapati masuk secara sah,” katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati kesemua suspek bertindak sebagai operator khidmat pelanggan yang menjalankan penipuan pelaburan saham, penipuan cinta atau “love scam” dan tawaran kerja tidak wujud dengan menyasarkan mangsa warga Eropah dan Asia Timur sejak Ogos lepas.

Shazeli berkata polis turut merampas pelbagai peralatan komunikasi, iaitu 117 unit telefon bimbit, komputer (21), komputer riba (16), penghala internet (8), iPad (2) dan dua unit pemprosesan pusat (CPU) dengan jumlah keseluruhan RM228,000.

Beliau berkata kesemua suspek sedang direman untuk tempoh berbeza mengikut Seksyen 420 serta Seksyen 120B Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here