Cukup-cukuplah caci-maki… anak muda mahu politik lebih matang

GOLONGAN anak muda mahu budaya politik kebencian dan amalan melabel pemimpin dengan gelaran menghina dihentikan bagi mewujudkan suasana politik yang lebih matang dan berhemah.

Mereka berpandangan, perbezaan pendapat dalam politik adalah perkara biasa, namun kritikan seharusnya berasaskan fakta, dasar dan tindakan, bukannya serangan peribadi yang boleh mencetuskan kebencian serta menghakis kepercayaan rakyat terhadap pemimpin.

APA KATA ANAK MUDA?

Nurfarah Iffa Nasarudin.

Nurfarah Iffa Nasarudin berkata, penggunaan gelaran menghina seperti ‘munafik’ tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila ia dikatakan oleh pemimpin yang sepatutnya menunjukkan contoh baik kepada masyarakat.

“Kita faham bahawa dalam politik, perbezaan pendapat dan kritikan itu adalah perkara biasa. Tetapi, kritikan sepatutnya dibuat berdasarkan fakta, dasar dan tindakan seseorang, bukannya dengan menggunakan gelaran yang boleh menjejaskan perbincangan secara matang,” katanya.

Tambahnya, pemimpin sepatutnya memberi tumpuan lebih kepada isu yang dekat dengan kehidupan rakyat, termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kebajikan masyarakat.

Akmal Nur Hakim

Akmal Nur Hakim pula berkata, amalan melabel dan menghina pihak lain mencerminkan sikap tidak matang serta tidak menggambarkan budaya masyarakat Malaysia yang mengutamakan keharmonian.

“Kami mahukan pemimpin yang matang dan mampu mengharumkan nama negara di mata dunia, bukannya menjadi tular di media sosial kerana memburukkan orang lain atau berkelakuan buruk,” ujarnya.

Dalam pada itu, Akmal menambah, persaingan politik seharusnya dinilai berdasarkan idea, penyelesaian dan kesan kepada rakyat, bukan pihak yang paling lantang mencaci pihak lawan.

Amal Hayati Fauzi.

Amal Hayati Fauzi berkata, pengundi memerhatikan sikap dan tindakan calon, justeru penggunaan gelaran yang tidak berasas boleh mengecewakan rakyat serta memberikan contoh buruk kepada masyarakat.

“Sebagai pengundi muda susah untuk membuat keputusan apabila melihat situasi dan sikap segelintir pemimpin yang hanya berjanji seolah menanam tebu di tepi bibir, tetapi tiada hasil atau manfaat kepada rakyat

“Saya berharap dapat melihat lebih lagi ahli politik yang pentingkan kebajikan rakyat dan bukannya putih mata disebabkan ‘kemewahan’ semata-mata,” katanya.

Rafhanah Hazirah Ramlin.

Sementara itu, Rafhanah Hazirah Ramlin berkata, perbezaan pandangan dalam politik tidak sepatutnya menjadi alasan untuk memalukan atau menghina individu lain sehingga isu sebenar yang dihadapi rakyat diketepikan.

“Sebagai rakyat, kita mahu melihat pemimpin berhujah berdasarkan fakta, dasar dan tindakan, bukannya saling melabel.

“Saya rasa pemimpin perlu sedar bahawa setiap perkataan yang mereka keluarkan diperhatikan oleh masyarakat, khususnya golongan muda yang sedang membentuk pandangan mereka terhadap politik negara,” katanya.

Beliau berkata, kematangan pemimpin bukan sahaja dinilai melalui kemampuan mengemukakan hujah, malah kesediaan menerima kritikan, mengakui kesilapan dan memberi tumpuan kepada masalah rakyat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here