KEJAYAAN gagasan SG4 mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM723.75 bilion menjelang 2050 bergantung pada keupayaan melaksanakan strategi transformasi ekonomi yang berkesan, bukan sekadar menetapkan sasaran pertumbuhan.
Ahli akademik Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dato’ Prof Noor Azizi Ismail berkata, sasaran itu memerlukan perancangan menyeluruh merangkumi perubahan struktur ekonomi, pelaburan berkualiti, peningkatan produktiviti, pembangunan bakat dan inovasi.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi tidak akan berlaku hanya dengan menetapkan sasaran, sebaliknya memerlukan keupayaan institusi untuk melaksanakan strategi yang dirancang.
“Pertumbuhan ekonomi tidak berlaku hanya kerana kita menetapkan sasaran. Ia memerlukan perubahan struktur ekonomi, pelaburan berkualiti, peningkatan produktiviti, pembangunan bakat, inovasi serta keupayaan institusi untuk melaksanakannya.
“Sasaran 2050 perlu diterjemahkan kepada pelan pembangunan lima tahun, lengkap dengan indikator prestasi, sumber yang diperlukan dan mekanisme pemantauan serta akauntabiliti yang jelas,” katanya kepada utusanmelayuplus.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan kemajuan dapat dinilai secara berkala, selain memastikan setiap perancangan disusuli tindakan yang boleh diukur.
“Menetapkan sasaran adalah penting, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana kita menterjemahkan sasaran tersebut kepada tindakan dan hasil yang nyata,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan pembangunan ekonomi tidak seharusnya diukur berdasarkan angka KDNK semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira sejauh mana pertumbuhan itu dapat meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.





