PAKATAN Harapan (PH) akan mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) disambut baik golongan muda yang melihatnya sebagai peluang meningkatkan taraf hidup serta mengurangkan kadar pengangguran di Negeri Sembilan.
Rata-rata mereka berpandangan peluang pekerjaan baharu perlu memberi tumpuan kepada sektor yang berpotensi menjana ekonomi negeri seperti pertanian, penternakan, perniagaan dan pembangunan industri, selain menawarkan gaji yang setimpal dengan kos sara hidup semasa.
Bagaimana pandangan mengenai tawaran 30,000 peluang pekerjaan dalam manifesto PH?

Nur Adriana Mohd. Nazaruddin, 26: Saya setuju dengan cadangan itu kerana ia boleh membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda. Saya juga berharap sektor pertanian diberi perhatian kerana Negeri Sembilan mempunyai tanah yang boleh dimanfaatkan untuk ladang dan penternakan sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Bidang apa yang perlu diberi perhatian dan berapa gaji yang diharapkan?
Nur Adriana Mohd. Nazaruddin: Saya berharap sektor pertanian dan penternakan diperluaskan kerana bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah mampu menarik pelaburan. Dari segi gaji, sekitar RM1,900 adalah munasabah bagi mereka yang baru memasuki alam pekerjaan.
Apa pandangan mengenai peluang pekerjaan yang dijanjikan PH?

Shahril Mustafa, 30: Saya melihat peluang pekerjaan baharu ini mampu memberi manfaat kepada penduduk, terutama dengan pembangunan AI Port. Anak-anak muda yang berhijrah ke negeri lain juga mungkin boleh pulang bekerja berhampiran keluarga jika lebih banyak peluang diwujudkan di Negeri Sembilan.
Bidang dan gaji yang diharapkan?
Shahril Mustafa: Bidang pertanian, penternakan ikan dan ayam perlu diberi keutamaan kerana ia boleh menggerakkan ekonomi setempat. Saya berharap pekerjaan yang diwujudkan menawarkan gaji sekitar RM3,000 hingga RM4,000 supaya pekerja mampu menyara kehidupan dan keluarga.
Bagaimana pula pandangan sebagai lepasan sekolah?

Alya Batrisya Mohd. Fazliza, 18: Saya setuju dengan manifesto ini kerana ia boleh membantu golongan muda dan penganggur mendapatkan pekerjaan. Apabila sudah bekerja, mereka juga dapat membantu keluarga.
Bidang dan gaji yang diharapkan?
Alya Batrisya Mohd. Fazliza: Saya berharap lebih banyak peluang diwujudkan dalam bidang perniagaan kerana ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memerlukan pekerjaan. Bagi saya, gaji permulaan sekitar RM1,700 sudah memadai dengan keadaan semasa.





