MCA tambah lagi satu kerusi, PN hanya tanding enam kerusi

‘’DARI tujuh tinggal enam, dari dua jadi tiga’’ – Itulah perubahan yang berlaku dalam pembahagian kerusi melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) apabila hari ini MCA mengesahkan diberikan satu lagi kerusi untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November.

Sebelum ini MCA diberikan dua kerusi iaitu Machap Jaya dan Kelebang manakala PN diperuntukan tujuh kerusi selepas BN bersedia bertanding 21 daripada 28 kerusi,

Perkara itu disahkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong yang mengesahkan partinya diberikan kerusi Bandar Hilir.

Pada PRN Melaka 2021, kerusi DUN tersebut dimenangi oleh Calon DAP, Leng Chau Yen dengan majoriti 7,778 undi selepas mendapat 9,091 undi mewaskan Calon BN Clarice Chan Ming Wang daripada MCA yang memperolehi 1,313 undi, Calon PN -Gerakan Clarice Chan Ming Wing (634 undi) dan Calon Bebas Mak Chee Kin (159 undi).

Menurut Ka Siong, keputusan menyerahkan kerusi Bandar Hilir kepada MCA itu dimuktamadkan selepas perbincangan antara BN dan PN hari ini, sekaligus menyaksikan MCA bakal bertanding di tiga DUN termasuk Machap Jaya dan Kelebang.

Ka Siong berkata calon bagi DUN Bandar Hilir ialah ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Jasmine Lok Huey Yee, 38.

“Secara rasmi, MCA bertanding di dua kerusi yang telah kita menang pada tahun 2021, iaitu Machap Jaya dan Kelebang dan kini satu lagi kerusi iaitu Bandar Hilir.

“Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada jam 4 petang tadi, telah menyerahkan watikah pelantikan untuk menjadi calon,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Ka Siong berkata penambahan kerusi itu, merupakan sebahagian daripada proses memuktamadkan pembahagian kerusi antara BN dan PN bagi PRN Melaka.

Beliau berkata keputusan itu turut menyusul kesediaan pemimpin utama PN untuk memberikan kerusi berkenaan kepada MCA, yang pernah bertanding di kawasan itu sebelum ini dan keputusan itu tidak akan menjejaskan kerjasama strategik BN dengan rakan strategiknya bagi PRN itu.

“…(kita) telah menerima panggilan daripada pemimpin utama PN, yang menyatakan kesediaan mereka untuk memberi MCA bertanding, kerana ini kerusi yang memang kita bertanding dahulu,” katanya.

Secara keseluruhannya, BN akan bertanding di 22 kerusi pada PRN Melaka ke-16.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala penamaan calon pada 31 Okt dan pengundian awal pada 10 Nov.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here