PEMETERAIAN Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (Confidence and Supply Agreement – CSA) antara Kerajaan MADANI dengan Ahli-ahli Parlimen daripada BERSATU, MUDA dan Bebas pada hari ini mencerminkan langkah positif ke arah kematangan demokrasi dan politik yang mengutamakan kepentingan negara mengatasi perbezaan kepartian.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, paling penting, perjanjian itu memperkukuh keyakinan terhadap kelangsungan pentadbiran negara, khususnya dalam memastikan Belanjawan 2027 dapat diluluskan dan dilaksanakan dengan teratur bagi meneruskan agenda pembangunan ekonomi, memperkukuh jaringan keselamatan sosial serta meningkatkan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
‘’Persefahaman ini turut memberikan dorongan terhadap agenda reformasi institusi, termasuk usaha menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Reformasi tersebut merupakan langkah penting untuk memperkukuh tadbir urus, integriti dan mekanisme semak dan imbang negara,’’ katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperlihatkan keterbukaan beliau untuk berunding dan mencari titik persamaan merentasi sempadan politik.
‘’Pendekatan ini membuktikan bahawa kepimpinan yang berteraskan prinsip dan kesediaan untuk berkompromi demi kepentingan negara mampu membina kestabilan politik yang lebih kukuh. Masanya sudah tiba untuk Malaysia bergerak ke hadapan melangkaui perbezaan dan sengketa politik,’’ katanya.





