PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang diletak sebaris tokoh-tokoh ulama antarabangsa dalam sebuah poster ulama sedunia sewajarnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, bukannya bahan sindiran disebabkan perbezaan pandangan politik.
Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, kedudukan Abdul Hadi dalam jaringan ulama antarabangsa bukan sesuatu yang dicipta oleh penyokong Pas sebaliknya berdasarkan latar belakang pendidikan, keilmuan serta sumbangan beliau dalam bidang dakwah dan penulisan.
“Apabila poster Abdul Hadi berada sebaris dalam poster ulama sedunia, sepatutnya rakyat Malaysia berbangga. Inilah ulama dari Alam Melayu yang turut mendapat tempat dalam jaringan ulama antarabangsa,” katanya.

Tegas Ahmad, terdapat pihak yang menyindir kononnya hanya penyokong Pas mengangkat Abdul Hadi sebagai ulama bertaraf dunia tanpa mengambil kira latar belakang dan rekod penglibatan beliau, lapor harakahdaily.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mempersoalkan sama ada pihak yang mengeluarkan sindiran berkenaan benar-benar mengenali tokoh yang diperkatakan.
Menurutnya, Abdul Hadi mempunyai latar belakang pengajian di Universiti Islam Madinah dan Universiti al-Azhar, Mesir, selain pernah memegang jawatan Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
Beliau juga aktif dalam bidang dakwah dan penulisan yang menjadi sebahagian daripada sumbangannya terhadap perkembangan keilmuan Islam.
“Bukan ahli Pas yang mencipta kedudukan Abdul Hadi di peringkat antarabangsa,” katanya yang juga Pesuruhjaya PasKedah.
Kata beliau, poster berkenaan hanyalah medium untuk memaparkan dan menyampaikan maklumat, bukannya sesuatu yang mencipta pengiktirafan terhadap seseorang tokoh.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa perbezaan pandangan politik merupakan perkara lumrah dan tidak bermakna semua pihak perlu menyokong Pas atau bersetuju dengan setiap pandangan Abdul Hadi.
Bagaimanapun katanya, perbezaan tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan fakta atau memperkecilkan tokoh agama dari negara sendiri.
“Kita tidak memaksa semua orang menyokong Pas atau bersetuju dengan setiap pandangan Tuan Guru. Perbezaan politik itu lumrah.
“Namun, jangan sampai perbezaan politik menyebabkan kita menafikan fakta dan memperkecilkan tokoh agama dari negara sendiri,” tegasnya.
Ahmad turut mengingatkan bahawa perbezaan pandangan dan fahaman kepartian tidak sepatutnya menghalang masyarakat daripada menghargai sumbangan ulama tempatan.
Menurutnya, perbezaan parti juga tidak sewajarnya menghilangkan rasa bangga terhadap tokoh ulama dari negara sendiri, khususnya mereka yang turut mendapat tempat dalam jaringan ulama antarabangsa.
“Jangan kerana mahu menyindir seorang tokoh, kita akhirnya gagal menghargai warisan ilmu Alam Melayu yang sepatutnya kita banggakan bersama,katanya.





