Pengurangan dua kerusi uji kepercayaan kerjasama BN-PN – Pensyarah

PENGURANGAN agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) daripada tujuh kepada lima dalam rundingan bersama Barisan Nasional (BN) berpotensi menjejaskan kepercayaan antara kedua-dua gabungan itu, sekali gus menguji keutuhan kerjasama politik mereka.

Pensyarah dan Penyelidik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mohd Azhar Abd Hamid berkata, perubahan itu mencerminkan peralihan kuasa tawar-menawar dalam rundingan politik BN-PN.

Prof. Madya Dr. Mohd Azhar Abd Hamid.

“PN mungkin melihat pengurangan dua kerusi sebagai kehilangan pengaruh, manakala BN berkemungkinan berpendapat agihan tersebut lebih mencerminkan kekuatan sebenar kedua-dua parti di kawasan terbabit.

“BN mungkin yakin jentera, rekod dan peluang kemenangannya di kawasan berkenaan lebih kukuh, sekali gus menyebabkan parti itu enggan memberikan laluan kepada PN.

“Perubahan ini juga boleh dilihat sebagai ujian terhadap sejauh mana PN sanggup berkompromi demi mengelakkan pertembungan sesama sendiri,” katanya kepada utusanmelayuplus.

Beliau berkata, pengurangan kerusi itu berpotensi mewujudkan defisit kepercayaan dalam kalangan pemimpin dan penyokong PN, terutama jika keputusan berkenaan bercanggah dengan persefahaman awal kedua-dua pihak.

Katanya, kesan itu mungkin lebih dirasai jentera di peringkat akar umbi yang telah lama berusaha membina pengaruh di kawasan berkenaan sehingga merasakan usaha mereka tidak dihargai dan janji rundingan tidak ditepati.

“Dalam politik gabungan, kepercayaan bukan hanya bergantung pada persetujuan pemimpin tertinggi, tetapi juga pada keyakinan petugas di peringkat akar umbi.

“Jika isu ini tidak diurus dengan baik, rasa curiga terhadap janji dan komitmen BN boleh berpanjangan,” katanya.

Mengulas kesan terhadap hubungan kedua-dua gabungan, beliau berkata, pertikaian itu berpotensi meningkatkan ketegangan dan menjadikan kerjasama BN-PN lebih bersifat transaksional, iaitu bergantung pada sejauh mana kepentingan masing-masing dipenuhi.

Menurutnya, walaupun pemimpin kedua-dua pihak mencapai kesepakatan, jentera di peringkat akar umbi mungkin tidak memberikan kerjasama sepenuhnya sehingga menjejaskan gerak kerja kempen.

“Keadaan ini boleh menyebabkan kempen tidak bergerak secara bersepadu, malah berisiko mencetuskan sabotaj senyap atau penolakan terhadap calon yang dipersetujui.

“Akibatnya, kerjasama yang kelihatan kukuh di peringkat kepimpinan mungkin tidak diterjemahkan kepada sokongan sebenar pengundi,” katanya.

Beliau berkata, pertikaian agihan kerusi turut berisiko menjejaskan kerjasama BN-PN dalam pilihan raya akan datang sekiranya tiada penyelesaian yang dianggap adil oleh kedua-dua pihak.

Katanya, BN dan PN mungkin memilih untuk bertanding secara berasingan jika masing-masing enggan mengorbankan kepentingan politik, sekali gus membuka risiko pertembungan tiga penjuru yang boleh memecahkan undi penyokong dan memberikan kelebihan kepada parti lawan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerjasama masih boleh diteruskan sekiranya kedua-dua pihak melihatnya sebagai strategi terbaik untuk meningkatkan peluang kemenangan.

“Isu agihan kerusi ini menjadi ujian terhadap kepercayaan, keikhlasan dan kematangan politik BN-PN.

“Kejayaan kerjasama bukan hanya bergantung pada persetujuan di peringkat kepimpinan, tetapi juga pada keupayaan kedua-dua parti meyakinkan jentera dan pengundi bahawa kerjasama tersebut benar-benar menguntungkan mereka,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here