Tingkat atas hotel jadi mini kasino, 16 individu ditahan

SEBUAH unit kediaman di tingkat teratas sebuah hotel di Jalan Ampang yang dijadikan lokasi perjudian ala mini kasino terbongkar selepas diserbu polis menerusi Op Tembok, awal pagi ini.

Serbuan kira-kira jam 1.50 pagi itu membawa kepada penahanan 16 individu terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga Nepal berusia antara 26 hingga 50 tahun.

ANGGOTA dan pegawai polis menyerbu operasi perjudian di tingkat teratas sebuah hotel di Jalan Ampang dalam Op Tembok awal pagi ini. GAMBAR: IPK KL

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pemeriksaan mendapati premis berkenaan digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian yang menawarkan permainan poker.

Menurutnya, aktiviti itu dipercayai beroperasi secara tertutup menerusi jemputan dalam kalangan kenalan rapat dan hanya membabitkan warga China.

“Polis turut merampas sebuah meja, tujuh kerusi, sekeping kad akses, dua set dadu, sekeping kad pengedar, 214 cip pelbagai warna bernilai RM5,180, 52 keping daun terup serta wang tunai RM1,000.

“Kesemua barangan berkenaan dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SEBAHAGIAN daripada individu yang ditahan dalam serbuan pusat perjudian di tingkat teratas sebuah hotel di Jalan Ampang dalam Op Tembok awal pagi ini. GAMBAR: IPK KL

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, kesemua individu yang ditahan akan dibawa ke hadapan Majistret bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tata Cara Jenayah untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti perjudian yang menyalahi undang-undang.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perjudian atau kesalahan jenayah boleh menghubungi Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here