SEBUAH syarikat mengalami kerugian RM486,000 selepas seorang pekerjanya diperdaya individu yang menyamar sebagai majikan sebelum diarahkan memindahkan wang syarikat ke akaun pihak ketiga.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pekerja wanita berusia 35 tahun, semalam.
Menurutnya, mangsa menerima pesanan ringkas daripada nombor telefon individu terbabit kira-kira jam 10 pagi sebelum diarahkan membuat pemindahan wang bagi tujuan pembayaran kontrak baharu.
“Mangsa menyedari ditipu apabila diminta membuat transaksi tambahan dengan jumlah sama atas alasan berbeza.
“Mangsa kemudian menghubungi majikannya menerusi panggilan WhatsApp, namun tidak menerima sebarang maklum balas sebelum mendapati nombor telefon majikannya telah digodam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.




