Penguasaan AI penting hadapi persaingan global – PM

PENGUASAAN ilmu baharu dan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) penting bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam menghadapi persaingan global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendedahan terhadap teknologi baharu perlu diperkukuh dalam sistem pendidikan supaya generasi muda bersedia menghadapi perkembangan dunia yang semakin pesat.

Beliau berkata, kegagalan menguasai ilmu dan teknologi baharu boleh menyebabkan negara tercicir dalam persaingan dengan negara maju.

“Kalau kita tidak kuasai ilmu baharu dan teknologi baharu, kita akan ketinggalan dalam persaingan dengan negara maju dan akan tercicir ke belakang,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan di Lembah Sireh, baru-baru ini.

Anwar berkata, perkembangan teknologi yang dahulunya tertumpu kepada penggunaan komputer kini beralih kepada AI, justeru Malaysia perlu bergerak seiring dengan perubahan berkenaan.

“Kalau dahulu komputer, sekarang sudah AI, tetapi kelainan Malaysia adalah bangsa dan umat yang ada dasar hidup,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha menguasai teknologi perlu berjalan seiring dengan pemeliharaan jati diri, budaya dan nilai masyarakat.

Katanya, kemajuan pendidikan tidak seharusnya hanya melahirkan individu yang cemerlang dari segi akademik, sebaliknya turut mempunyai adab, akhlak dan rasa hormat terhadap orang lain.

Beliau turut meminta Kementerian Pendidikan supaya mengambil tindakan tegas terhadap gejala buli yang masih berlaku dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, pendidikan perlu membentuk generasi yang bukan sahaja berpengetahuan, malah mempunyai sahsiah dan nilai kemanusiaan yang tinggi.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud turut hadir pada majlis berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here