PRN Melaka: Kekalahan bapa lima kali bukan beban buat Mukhlis

LIMA kekalahan bapanya dalam pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi tidak pernah dianggap sebagai beban oleh calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah sebaliknya, ia menjadi dorongan untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat di kawasan itu.

Selesa dipanggil Mukhlis, pemuda berusia 25 tahun itu berkata, beliau tidak pernah berniat membalas dendam atas kekalahan bapanya, Julasapiyah Kassim, yang sudah lima kali bertanding di kerusi berkenaan tetapi belum pernah memenanginya.

Sebaliknya, kata anak muda itu, pengalaman menyaksikan bapanya turun padang dan mendekati masyarakat sejak beliau kecil menjadi antara faktor yang mendorongnya mengikuti jejak langkah itu.

“Ayah saya bertanding lima kali dan lima kali kalah, orang kecam serta membahan itu perkara biasa. Saya ambil perkara itu sebagai satu cabaran dan benih perjuangan untuk menambah lagi semangat bekerja lebih kuat.

“Kalau ayah saya bertanding lima kali dan lima kali kalah, mungkin saya kena bekerja enam atau tujuh kali ganda untuk mendapatkan hati pengundi di DUN Kuala Linggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Jabatan Pilihan Raya PH di Bilik Gerakan Utamanya di Melaka hari ini.

Mengulas tanggapan bahawa penyertaannya dalam PRN kali ini bagi merealisasikan impian bapanya menjadi wakil rakyat, Mukhlis berkata, hasrat utamanya adalah untuk meneruskan kerja kemasyarakatan yang sudah sebati dalam kehidupannya.

“Benda baik kita ikut, ayah saya didik untuk pergi ke masjid dan sampai sekarang saya pergi masjid, Subuh di masjid tak ada masalah,” katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, bapanya tetap aktif membantu masyarakat walaupun tidak pernah memenangi pilihan raya, malah dikenali penduduk setempat kerana sering turun ke kampung.

“Ayah saya sudah lama berbakti walaupun kalah. Dia tetap bekerja dan pergi ke ceruk kampung. Sebut sahaja Ustaz Julas, ramai yang mengenalinya.

“Jadi, perkara baik yang diajar sejak kecil itu kita ambil dan teruskan supaya dapat membawa sesuatu yang baik kepada masyarakat di Kuala Linggi,” katanya.

Mukhlis yang aktif dalam Parti Amanah Negara (Amanah) kini memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah Melaka dan Ketua Mahasiswa Amanah Nasional manakala bapanya merupakan Ketua Amanah Kawasan Kuala Linggi.

Pada PRN kali ini, Mukhlis bakal berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang kerusi, Datuk Rosli Abdullah daripada Barisan Nasional (BN) dan Nur Farhana Hamzah daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Untuk rekod, Julasapiyah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Julas pernah bertanding di DUN Kuala Linggi sebanyak lima kali, bermula pada Pilihan Raya Umum 1999, 2004, 2008 dan 2013 atas tiket Pas sebelum kembali bertanding pada PRN 2021 menggunakan tiket PH menerusi Amanah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here