SELEPAS sekian lama menanti kemudahan terminal bas yang lebih sempurna, penduduk Kelantan akhirnya menerima khabar menggembirakan apabila Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan RM250 juta bagi merealisasikan pembinaan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral).
Kelulusan itu bukan sekadar pengumuman peruntukan pembangunan, sebaliknya membawa harapan baharu kepada ribuan pengguna pengangkutan awam yang sekian lama menantikan sebuah terminal lebih moden, selesa dan mampu memenuhi keperluan perjalanan mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu baru-baru ini turut memperlihatkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan asas rakyat Kelantan, khususnya kemudahan pengangkutan awam yang perlu diberi perhatian seiring pembangunan infrastruktur lain di negeri berkenaan.
Malah, Anwar berkata, surat kelulusan peruntukan itu sudah dikemukakan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud bagi memaklumkan keputusan kerajaan membangunkan terminal bersepadu berkenaan.
“Menteri Besar Kelantan cakap semua okey, sekolah okey, sekolah agama pun okey, tapi terminal bas dia kata tak baiki lagi.
“Jadi saya telah luluskan… baru je ni saya hantar surat kepada Datuk Menteri Besar, (peruntukan) terminal bas padu bersepadu Kota Bharu Sentral kita luluskan.
“(Peruntukan) bukan RM250,000. Tetapi RM250 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Sebarkan Salam Kota Bharu Berselawat di Dataran Muhammadi, Kota Bharu, Sabtu lalu.
Hakikatnya, keperluan terhadap terminal bas yang lebih baik bukan perkara baharu bagi penduduk Kelantan. Projek KB Sentral sebelum ini berdepan kelewatan berpanjangan, malah beberapa sasaran pelaksanaannya berubah sehingga kemudahan yang diharapkan itu masih belum dapat dinikmati sepenuhnya.
Dalam konteks itu, kelulusan RM250 juta oleh Kerajaan Persekutuan dilihat sebagai langkah penting untuk menggerakkan semula projek berkenaan, sekali gus membuktikan keperluan rakyat di negeri yang ditadbir pembangkang tetap mendapat perhatian kerajaan pusat.
Namun, peruntukan besar sahaja tidak menjamin projek dapat disiapkan. Apa yang lebih penting ialah kesungguhan semua pihak berkaitan untuk memastikan setiap proses pelaksanaan berjalan lancar, tanpa kelewatan yang boleh menyebabkan rakyat terus menunggu.
Kerajaan Kelantan sebelum ini menyatakan hasrat meneruskan projek itu menerusi kaedah bina, kendali dan serah (BOT), selain memaklumkan proses pemilihan kontraktor sudah dilaksanakan. Justeru, perkembangan terbaharu ini seharusnya menjadi pemangkin untuk menyelaraskan perancangan sedia ada dengan kelulusan peruntukan Kerajaan Persekutuan.
Rakyat pastinya tidak mahu projek yang sudah sekian lama dinantikan itu sekali lagi berdepan perubahan jadual, alasan pentadbiran atau kelewatan urusan pelaksanaan.
Apa yang diharapkan, kerajaan negeri dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dan mempercepat segala urusan berkaitan supaya peruntukan RM250 juta itu benar-benar diterjemahkan kepada pembinaan sebuah terminal yang boleh dimanfaatkan rakyat.
Akhirnya, yang dinantikan penduduk Kelantan bukanlah siapa yang lebih banyak mengumumkan perancangan atau siapa yang wajar menerima pengiktirafan, tetapi sebuah KB Sentral yang siap dibina dan dapat digunakan.
Selepas penantian yang begitu panjang, sudah tiba masanya impian rakyat Kelantan terhadap kemudahan pengangkutan awam yang lebih baik menjadi kenyataan.





