Tiga sekeluarga maut, remaja parah MPV rempuh pokok sawit

Tiga beranak maut manakala seorang remaja perempuan parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh pokok kelapa sawit di Batu 14, Jalan Apas, Tawau, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu mengorbankan seorang wanita berusia 50 tahun dan dua anak lelakinya masing-masing berusia 30 dan 28 tahun, manakala anak perempuan mereka berusia 15 tahun cedera parah.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, siasatan awal mendapati keempat-empat mangsa menaiki Perodua Alza dari Kampung Bahagia, Sandakan menuju ke pusat bandar Tawau.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, MPV dipandu lelaki berusia 28 tahun itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan lurus sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Kenderaan itu kemudian merempuh sebatang pokok kelapa sawit sebelum terseret sejauh kira-kira 60 meter, lalu terbalik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan pada jam 10.16 pagi.

Katanya, remaja perempuan yang terselamat mengalami kecederaan serius pada bahagian tulang rusuk dan perut sebelum dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan di zon merah.

Mayat ketiga-tiga mangsa turut dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat yang dijadualkan pada jam 8 malam ini.

Rosdi berkata, pemeriksaan awal mendapati pemandu kenderaan berkenaan tidak memiliki lesen memandu, manakala MPV terbabit ditahan bagi menjalani pemeriksaan PUSPAKOM.

Katanya, polis turut mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here