POLIS mengesan sekurang-kurangnya tiga kes membabitkan warga China yang dipercayai dijadikan keldai dadah untuk membawa bekalan bahan terlarang dari Malaysia ke Hong Kong.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu terbabit dipercayai memasuki negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum mengambil penerbangan ke Hong Kong dari Pulau Pinang.
Menurutnya, polis percaya kegiatan itu didalangi sindiket sama yang menggunakan modus operandi serupa dan disyaki berpangkalan di China.
“Kita percaya mereka ada dalang dan satu sindiket sama yang menggunakan modus operandi serupa. Kita syaki sindiket ini dari China.
“Keldai dadah warga China ini ada yang baru dapat pasport dan pertama kali mengembara ke luar negara. Kami percaya semuanya diuruskan oleh sindiket,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes JSJN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.
Mengulas pemilihan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebagai lokasi berlepas ke Hong Kong, Hussein berkata, laluan berkenaan dipercayai digunakan bagi mengelakkan kegiatan penyeludupan itu dikesan pihak berkuasa.
Katanya, keldai dadah terbabit dipercayai memasuki Malaysia menerusi satu penerbangan sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang dan berlepas ke Hong Kong menggunakan syarikat penerbangan berbeza.
Sebelum ini, media melaporkan penahanan seorang lelaki warga China bersama dua kilogram kokain di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada 22 Oktober lalu.
Lelaki berusia 25 tahun itu dipercayai memperoleh bekalan dadah berkenaan daripada individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Pulau Pinang sebelum berlepas ke Hong Kong.
Suspek tiba di Hong Kong dari Pulau Pinang menggunakan penerbangan Cathay Pacific CX622 sebelum pemeriksaan terhadap bagasi daftar masuknya menemukan bahan disyaki kokain.
Hussein sebelum ini berkata, maklumat awal berhubung sumber bekalan dadah itu diperoleh susulan penahanan suspek oleh Jabatan Kastam dan Eksais Hong Kong pada tarikh berkenaan.





