DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh dan Sungai Damansara bernilai hampir RM700 juta dipercepatkan susulan kejadian banjir berulang yang menjejaskan penduduk Kampung Melayu Subang dan kawasan sekitarnya.
Perdana Menteri berkata, projek yang sudah diluluskan Kerajaan Persekutuan itu perlu disegerakan menerusi kerja melebarkan dan mendalamkan sungai serta pembinaan kolam takungan tambahan bagi mengurangkan risiko kejadian banjir berulang.
Katanya, beliau bimbang kejadian sama terus berlaku di kawasan berkenaan yang sudah beberapa kali dilanda banjir, justeru pelaksanaan langkah tebatan perlu diberi perhatian segera.
“Masalah kita adalah nak percepatkan sahaja. Sebaik sahaja ada kerja seperti mengorek sungai yang kontraknya sudah ada, saya sudah minta dipercepatkan.
“Bagi saya, yang membimbangkan ialah kawasan ini sudah dua tiga kali banjir, jadi perlu ada pelebaran sungai, kolam tambahan dan projek tebatan banjir keseluruhannya,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang di Sungai Buloh pagi tadi.
Beliau turut mengadakan pertemuan dengan sebahagian daripada lapan keluarga yang berlindung di PPS berkenaan selain diberikan taklimat mengenai keadaan penduduk terjejas dan perkembangan situasi banjir.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata kerajaan akan menyalurkan bantuan tambahan kepada mangsa banjir dengan jumlah bantuan ditentukan berdasarkan keadaan dan kerugian yang dialami setiap keluarga.
Katanya, bantuan itu akan diselaraskan bersama kerajaan negeri bagi memastikan penduduk yang mengalami kerosakan kediaman mendapat bantuan sewajarnya.
Beliau turut meminta laporan perkembangan projek tebatan banjir di bawah Kerajaan Persekutuan pada Jumaat ini, manakala Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diminta membentangkan perkembangan projek di bawah kerajaan negeri.
Kejadian banjir kilat petang semalam berlaku susulan hujan lebat dalam tempoh singkat yang menyebabkan beberapa kawasan sekitar Subang dan Sungai Buloh dinaiki air.
Di Kampung Melayu Subang, kira-kira 92 rumah di empat kawasan dilaporkan terjejas, manakala lebih 500 rumah terkesan akibat banjir di beberapa kawasan sekitar Sungai Buloh.
Yang turut hadir pada lawatan itu ialah Amirudin, Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan serta Ahli Dewan Negeri Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim.





