SEORANG pengawal keselamatan warga Nepal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh kekasihnya yang juga pekerja kilang, bulan lalu.
Tertuduh, Tamang Bal Bahadur, 44, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Tamang Sandhya, 24, yang juga warga Nepal di sebuah bilik hotel di Jalan Hang Kasturi antara jam 10.46 malam, 9 Oktober hingga 2.34 petang, 10 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa yang tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 19 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan bedah siasat, toksikologi, kimia serta dokumen berkaitan.
Tertuduh sebelum itu dibawa ke kompleks mahkamah dengan kawalan ketat anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.





