Guru direman, disyaki amang seksual murid lelaki berulang kali

SEORANG guru lelaki berusia 24 tahun direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan amang seksual fizikal berulang kali terhadap seorang murid lelaki di sebuah sekolah rendah di daerah Jerantut.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Nor Azman Yusof berkata, suspek ditahan susulan laporan dibuat bapa mangsa berusia 42 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut pada jam 1.40 petang 27 Oktober lalu.

Beliau berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan direman bermula 30 Oktober hingga esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792),” katanya, lapor BH.

Nor Azman berkata, kejadian itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kepada bapanya mengenai perbuatan yang didakwa dilakukan suspek.

Berdasarkan laporan polis, katanya, mangsa mendakwa sering dirotan atas alasan tidak menyiapkan kerja sekolah sebelum dibawa ke stor di bilik makmal sains.

Suspek kemudian didakwa mengarahkan mangsa melakukan perlakuan tidak senonoh, selain melakukan amang seksual fizikal terhadap murid berkenaan di bilik itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here