Sindiket seludup migran guna laluan haram tumpas, 36 individu ditahan

KEGIATAN sindiket penyeludupan migran menggunakan laluan tidak diwartakan di Sabak Bernam terbongkar menerusi Ops Pintas Som yang dijalankan polis selama dua hari bermula kelmarin.

Operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu membawa kepada penahanan 36 individu, termasuk 25 migran warga Indonesia, dua kanak-kanak dan beberapa individu yang dipercayai bertindak sebagai transporter.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai membawa masuk dan keluar migran dari Malaysia melalui laluan tidak diwartakan.

Menurutnya, sindiket mengenakan bayaran tertentu bagi setiap migran, termasuk perkhidmatan transporter untuk membawa mereka ke lokasi sekitar Lembah Klang mengikut jarak perjalanan.

“Dalam operasi itu, polis turut merampas 11 kenderaan, 13 telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM4,930 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.

Operasi berkenaan turut mendapat bantuan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Polis Marin dan anggota Cawangan D6.

Shazeli berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 26A dan Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan keseluruhan rangkaian sindiket, termasuk individu yang bertindak sebagai pengendali dan penyelaras kegiatan itu.

“Polis akan terus mempergiat penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan migran melalui laluan tidak diwartakan demi memastikan keselamatan serta kedaulatan sempadan negara terus terpelihara,” tambah beliau.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here